Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Isu berkaitan dengan kebudayaan global dan pengaruhnya terhadap nilai-nilai identiti sebuah bangsa di rantau Asia Tenggara menjadi tumpuan perbincangan para peserta yang menghadiri Konvensyen Majlis Guru-guru ASEAN ke-33 (33rd ACT+1) yang berlangsung di Danang, Vietnam bermula 15 hingga 17 September.
Sehubungan dengan itu, delegasi seramai 29 orang dari Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) yang diketuai oleh Yang Di-Pertua PGGMB, Haji Antin bin Ahad berlepas ke Vietnam, hari ini.
Perhimpunan yang disertai oleh guru-guru, pentadbir sekolah dan perwakilan daripada persatuan-persatuan guru dari negara-negara anggota Majlis Guru-guru ASEAN iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Republik Demokratik Rakyat Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Republik Korea itu bakal mengongsikan pendekatan-pendekatan ke arah menangani cabaran-cabaran globalisasi melalui reformasi pendidikan.
Konvensyen ACT+1 ke-33 yang dihoskan oleh Vietnam sebagai tuan rumah dikelolakan oleh National Education Union of Vietnam (NEUV), di mana ia membawa tema, Role of Education in Adopting Global Culture and Preserving National Identity, yang akan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan dan Latihan Republik Sosialis Vietnam.
Semasa konvensyen berkenaan, para peserta akan menumpukan perbincangan kepada isu globalisasi dan kesannya terhadap budaya dan identiti sesebuah negara. Antara agenda utama yang akan dibincangkan semasa perhimpunan itu ialah sesi pembentangan kertas-kertas kerja daripada setiap negara peserta.

Bagi Negara Brunei Darussalam, PGGMB diwakili oleh Pegawai Kanan, Jabatan Sekolah-sekolah, Dayang Nur Asurah binti Haji Meludin, di mana beliau akan menyampaikan kertas kerja bertajuk, Preserving and Promote Global Culture and National Identity Through Education in Brunei Darussalam.
Di dalam pembentangannya itu nanti, beliau akan mengupas mengenai hala tuju Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN21) yang merangkumi aspek-aspek pendidikan moral, keagamaan dan kenegaraan yang diperkenalkan melalui pendekatan pendidikan yang menyeluruh.
Konvensyen ACT+1 merupakan satu landasan perbincangan mengenal hal ehwal pendidikan dan kebudayaan yang dikelolakan bersama oleh persatuan-persatuan guru di kalangan negara-negara anggota ACT+1. Ia dianjurkan setiap tahun dan dikendalikan secara bergilir-gilir oleh setiap negara anggota, termasuk negara bersekutu ACT, Korea di mana persidangan itu menghimpunkan lebih 2,000 peserta.