NEW DELHI, 4 OGOS – Seorang wanita berasal dari luar negara diuji positif cacar monyet di New Delhi kelmarin, pegawai jabatan kesihatan mengesahkan hari ini.
Sejarah perjalanannya baru-baru ini belum lagi diketahui, namun kes itu merupakan kes cacar monyet membabitkan wanita buat pertama kalinya di negara itu, yang setakat ini merupakan kes keempat di New Delhi dan sembilan keseluruhannya bagi negara itu.
Setakat ini, lima kes dilaporkan dari Kerala, termasuk satu kematian dan empat kes dari Delhi. Kes pertama dilaporkan dari Kerala pada 14 Julai telah sembuh hujung minggu lalu dan dibenarkan keluar hospital.
Kerajaan Delhi beberapa hari lalu turut mengumumkan bahawa ia menubuhkan 70 bilik pengasingan di enam buah hospital di ibu negara bagi pesakit cacar monyet atau kes disyaki. – Xinhua