Demam khinzir Afrika pertama dikesan di Jerman

BERLIN, 10 SEPT – Jerman hari ini mengesahkan kes pertama demam khinzir Afrika, yang mengancam akan melanda pasaran daging khinzir utama negara itu.

Para saintis mengesan demam khinzir pada seekor khinzir hutan yang mati berhampiran sempadan Jerman-Poland di bahagian timur Brandenburg, menurut menteri pertanian Jerman.

“Malangnya, kecurigaan telah disahkan,” kata Julia Kloeckner, menteri pertanian, selepas binatang yang mati tersebut diuji semalam.

Jerman adalah pengeluar daging khinzir di Eropah, dengan pengeluaran kira-kira lima juta tan setahun.

Demam khinzir Afrika sangat berbahaya di kalangan khinzir hutan dan domestik, dan mudah berjangkit tetapi ia tidak berbahaya kepada manusia.

Beberapa buah negara termasuk China, mewajibkan import dari negara yang bebas dari demam khinzir.

Daging khinzir Jerman baru-baru ini melihat peningkatan dalam permintaan dari China selepas wabak demam khinzir di negara Asia itu menyebabkan jutaan khinzir terpaksa dibunuh.

Eksport dari rantau Brandenburg akan disekat, Kloeckner berkata, tetapi perdagangan daging khinzir dengan negara EU akan diteruskan dari rantau yang tidak terjejas.

Berita terbaharu itu meningkatkan kebimbangan yang dihadapi oleh sektor daging khinzir Jerman.

Loji pengeluaran daging terbesar di negara itu ditutup buat sementara pada Jun setelah lebih daripada 1,000 pekerja diuji positif dijangkiti koronavirus.

Demam khinzir Afrika tidak berkaitan dengan selesema khinzir, yang mengorbankan lebih dari 18,000 orang ketika ia menular pada 2009, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Sejak akhir 2019, beberapa kes demam khinzir Afrika telah dikesan di barat Poland, dan para pemantau percaya ia tidak lama lagi akan tersebar di sempadan mereka.

Langkah drastik telah diambil dalam beberapa bulan kebelakangan di Jerman, seperti menggunakan anjing pengesan yang dilatih untuk menjejak bangkai khinzir hutan dan menggunakan dron. – AFP