SUKAN bola sepak dan lelaki sememangnya sukar untuk dipisahkan sehingga ada yang sanggup berkorban masa demi menonton perlawanan bola sepak tersebut.
Setentunya juga ada kalangan lelaki yang sanggup bersengkang mata walaupun terpaksa berjaga sehingga awal pagi.
Kemeriahan Piala Dunia Rusia 2018 ini setentunya di sambut meriah oleh kaum lelaki di seluruh dunia terutama dalam mengambil kira apabila permainan bola sepak tersebut hanya diadakan setiap empat tahun di mana ia secara tidak langsung menyebabkan virus demam bola dalam kalangan peminatnya.
Golongan peminat bola sepak sudah pasti menantikan detik ini dengan penuh debaran.
Sebaliknya, para isteri juga sudah tentu perlu bersedia dari segi mental dan fizikal itu telah mendepani isu tersebut yang berasa bimbang apabila suami mereka terlalu kemaruk bola sehingga ada yang merasakan diri mereka terpinggir.
Meminati sukan bola sepak memang cukup lumrah bagi kebanyakan kaum lelaki sehingga ada juga di antara kalangan peminat bola sepak yang tidak tidur hingga ke waktu Subuh kerana berhasrat untuk menonton perlawanan bola sepak terutama pada musim Piala Dunia sedang hangat berlangsung.
Natijahnya, ia memang secara tidak langsung turut memberi kesan negatif kepada kompetensi bekerja di pejabat, badan menjadi lemah malah emosi juga terkesan akibat tidak cukup tidur.
Adakalanya ia secara tidak langsung membuatkan sesetengah individu menjadi tidak fokus, mudah sensitif dan kurang berminat untuk bersosial.
Namun kadang-kadang ia juga turut mewujudkan hubungan sosial di antara para lelaki dengan rakan-rakannya terutama apabila menonton pertandingan bola sepak itu secara berkumpulan.
Mereka juga kelihatan seronok menonton sambil makan makanan ringan di samping turut memberikan ulasan yang bertujuan untuk melepaskan emosi dan tekanan persepsi masing-masing. Ia juga turut dilakukan dalam suasana harmoni dan ternyata turut mengeratkan hubungan silaturahim.
Berfikiran matang
Dalam keseronokan menonton perlawanan bola sepak itu, seseorang suami juga wajar untuk berfikiran bijak, matang dan sangat berwibawa.
Keperluan isteri juga tidak wajar untuk dipinggirkan dan tetap memberi perhatian kepada isteri masing-masing.
Antaranya adalah seperti dengan memberi kasih sayang, membeli barangan keperluan rumah tangga, memberi nafkah zahir dan batin.
Di samping itu, suami juga turut harus menstruktur ahli keluarganya dari aspek rasional walaupun dalam keseronokan Piala Dunia Rusia 2018 .
Hakikatnya, kaum wanita khususnya kalangan isteri harus dipimpin, dijelaskan dan dirayu dengan lemah lembut agar diberi peluang untuk menonton perlawanan bola sepak.
Tatkala pihak isteri telah jelas, yakin dan gembira dengan sikap suami yang memohon isterinya agar memberi ruang kepada suami untuk menonton perlawanan bola sepak.
Sekiranya, hati isteri itu berjaya dipujuk bukan sahaja dia boleh memahami, malah ia juga secara tidak langsung turut membantu suaminya untuk membuat air minuman atau kuih bagi kelengkapan keseronokan si suaminya ketika menonton Piala Dunia. – Agensi