Oleh Ak Zaki Kasharan
Hanya tinggal beberapa hari saja lagi, Qatar akan menjadi tumpuan dunia terutama bagi para penggemar sukan bola sepak dengan penganjuran Piala Dunia FIFA 2022 yang akan bermula 20 November sehingga 18 Disember depan.
Qatar merupakan negara Arab yang pertama terpilih untuk menjadi tuan rumah bagi penganjuran acara sukan terbesar di dunia itu.
Piala Dunia yang biasanya diadakan semasa musim panas atau pada pertengahan tahun, kali ini diadakan agak berbeza dari sebelumnya apabila ia diadakan pada penghujung tahun di mana cuaca di Qatar akan berasa lebih sejuk berbanding jika ia diadakan semasa musim panas yang pada lazimnya suhu di sana boleh mencecah sehingga 50 darjah Celsius.
Meskipun bulan November dan Disember merupakan waktu sibuk bagi para pemain bola sepak yang bermain di liga masing-masing seperti dalam Liga Perdana Inggeris, La Liga Sepanyol dan lainnya ia jelas sekali tidak melunturkan semangat juang yang ditampilkan oleh para pemain.
Pasukan dari pelbagai benua telah bersaing dan bermain dalam peringkat kumpulan awal, dan pasukan yang teratas kemudiannya layak mara ke Piala Dunia Qatar 2022. Sementara itu beberapa pasukan lain turut berjaya meloloskan diri ke Qatar setelah melepasi pusingan playoff.
Selain pasukan Perancis yang menjuarai Piala Dunia 2018 yang layak ke Piala Dunia 2022 secara automatik, sebanyak 31 pasukan lainnya akan berentap pada Piala Dunia 2022 kali ini termasuklah pasukan negara tuan rumah Qatar, Ecuador, Senegal, Belanda, England, Iran, Amerika Syarikat, Wales, Argentina, Arab Saudi, Mexico, Poland, Australia, Denmark, Tunisia, Sepanyol, Costa Rica, Jerman, Jepun, Belgium, Kanada, Morocco, Croatia, Brazil, Serbia, Switzerland, Cameroon, Portugal, Ghana, Uruguay dan Korea Selatan.
Pelbagai persiapan rapi telah dilakukan sejak pencalonan Qatar pada tahun 2010 yang lalu untuk menjadi tuan rumah penganjuran Piala Dunia 2022 ini termasuklah dengan pembinaan dan penambahbaikan lapan buah stadium bola sepak baharu berkelas tinggi dengan reka bentuk moden dan kelengkapan serta kemudahan yang terkini.
Selain itu, sebagai persiapan menjadi tuan rumah, Qatar turut membangun jalan raya lima jalur dan sistem kereta api pantas bagi melancarkan lagi pergerakan semasa berlangsungnya acara sukan yang memakan masa hampir sebulan lamanya.
Di samping itu, negara yang mempunyai populasi hampir tiga juta penduduk tersebut juga turut menyediakan sehingga lebih 100 buah hotel baharu sebagai tempat penginapan bagi seramai 1.5 juta orang pengunjung yang dijangka akan membanjiri negara tersebut semasa penganjuran acara sukan terbesar di dunia itu. Brazil, England, Perancis dan Sepanyol adalah antara negara-negara kegemaran yang banyak dijangkakan untuk memenangi acara sukan kali ini.
Sehubungan itu, di negara kita tidak terlepas dengan demam Piala Dunia ini. Pelbagai pertandingan turut dianjurkan bagi memeriahkan lagi suasana yang antaranya Guess the Semi-Finalist Contest oleh Brunei Press Sdn Bhd melalui akhbar Media Permata dan Borneo Bulletin dengan kerjasama dan sokongan daripada Setia Motors Sdn Bhd dan Bank Baiduri.
Penganjuran peraduan kali ini menawarkan ganjaran hadiah utama berupa sebuah kenderaan baharu Hyundai Creta 1.5L yang bernilai $32,350 semata-mata bagi menambah kemeriahan Piala Dunia pada tahun ini yang turut disertai oleh para penggemar sukan bola sepak di sini.