PARIS, 3 Jun – Lebih 7.6 juta orang telah memilih siaran televisyen Perancis, TF1, untuk menyaksikan Perancis menewaskan Itali 3-1 di Nice dalam perlawanan pemanasan Piala Dunia kedua mereka, menurut perangkaan yang dikeluarkan kelmarin.
Siaran pada waktu utama itu, yang menyaksikan jaringan hebat bintang Barcelona, Ousmane Dembele, telah mengatasi jumlah tontonan sebanyak 6.9 juta yang menyaksikan perlawanan Perancis menewaskan Ireland 2-0.
Pertahanan tengah Barcelona, Samuel Umtiti menjaringkan gol pembukaan sebelum Itali mengurangkan defisit sebelum rehat menerusi Leonardo Bonucci.
Bintang Atletico Madrid, Antoine Griezmann, yang juga dilaporkan untuk menyertai Barcelona, menambah jaringan kedua menerusi penalti sebelum Dembele mencuri tumpuan.
TF1 akan menyiarkan 28 perlawanan Piala Dunia, yang akan berlangsung dalam masa dua minggu lagi di seluruh Rusia. – AFP