Dembele harus tetap fokus – Suarez

SAINT-DENIS, Perancis, 20 Nov – Luis Suarez, pemain yang diselubungi kontroversi kerana menggigit pemain lawan, berkata bahawa rakan sepasukannya di Barcelona, Ousmane Dembele, sepatutnya lebih bertanggungjawab selepas dilaporkan tidak datang sesi latihan kerana terlalu lama bermain permainan video.

Dembele tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama oleh juara bertahan Sepanyol itu ketika mereka tewas mengejut 4-3 di laman sendiri kepada Real Betis. Namun jurulatih, Ernesto Valverde berkata dia sedang melakukan ‘penilaian pasukan’ dan terpaksa tidak menurunkan Dembele.

Bagaimanapun akhbar sukan As melaporkan, skuad Catalan itu bimbang bukan hanya kerana dia mungkin ketagih terhadap permainan video tetapi juga boleh memusnahkan kariernya di kelab berkenaan.

Dan Suarez yang juga tidak asing dengan masalah disiplin, berkata pemain antarabangsa Perancis berusia 21 itu yang ditandatangani dengan nilai 105 juta euro, perlu mengikut contoh sebahagian rakannya di Barca.

“Ousmane sedar bola sepak ialah penghormatan buat semua pemain, mungkin dia sepatutnya memberi lebih tumpuan berkaitan beberapa perkara,” kata penyerang Uruguay itu menjelang pertemuan dengan Perancis di Stade de France, esok.

“Ada contoh tahap profesional tinggi di Barca yang boleh dijadikan inspirasi. Dia akan terus belajar, tahap keyakinan tinggi membolehkannya berjaya di Barcelona.”

Suarez turut mencipta kontroversi sepanjang kariernya. Dia digantung kerana menggigit pemain ketika bersama Ajax dan digelar ‘Cannibal’ oleh akhbar Belanda dan Liverpool.

Namun dia lebih terkenal ketika berdepan pertahanan Itali, Giorgio Chiellini pada pertemuan terakhir peringkat kumpulan Uruguay pada Piala Dunia 2014.

Suarez menjatuhkan badan dan Chiellini menunjukkan bekas gigitan, sementara pemain Itali lain membuat aduan kepada pengadil. Susulan insiden itu, Suarez telah digantung sebanyak sembilan perlawanan Piala Dunia dan dilarang dari mengikuti sebarang aktiviti bola sepak selama empat bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), sehingga di terpaksa membuat kemunculan pertamanya untuk Barca sehingga akhir Oktober tahun itu. – AFP

Suarez (kiri) menendang bola semasa sesi latihan pasukan Uruguay di Stadium Stade de France di Saint-Denis. – AFP