Dembele julang Lyon ke separuh akhir

LISBON, 16 OGOS – Moussa Dembele turun dari bangku simpanan untuk menjaringkan dua gol lewat ketika Lyon membuat kejutan di Liga Juara-Juara semalam, menewaskan pasukan Pep Guardiola dari Manchester City dengan kemenangan 3-1 pada perlawanan suku akhir di Lisbon.

City telah mencipta banyak peluang untuk memenangi perlawanan di pintu tertutup di Stadium Jose Alvalade setelah jaringan Kevin De Bruyne di separuh masa kedua telah membatalkan jaringan pembukaan separuh masa pertama Lyon menerusi Maxwel Cornet.

Namun, Dembele meletakkan Lyon kembali di depan pada minit ke-79 dan kemudian memanfaatkan kecuaian yang mengejutkan oleh Raheem Sterling untuk meraih kemenangan tiga minit sebelum masa berakhir.

Pasukan yang menduduki tempat ketujuh pada musim liga Perancis yang dibatalkan, dan telah bermain hanya dua perlawanan kompetitif sejak awal bulan Mac, kini mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich pada Rabu depan.

Itu pasti akan menjadi langkah yang terlalu jauh untuk pasukan Rudi Garcia tetapi sekali lagi tidak ada yang menjangka mereka akan menyingkirkan Juventus dan menewaskan City di sini pada suku akhir.

“Kami terus berjuang, bermaksud kami memiliki pasukan yang hebat,” kata bekas penyerang Celtic, Dembele kepada saluran televisyen Perancis, RMC Sport.

“Kami mengambil peluang permainan demi permainan, tidak melakukan kesilapan. Kami akan berusaha ketika bertemu Bayern.”

Pasukan Guardiola telah diberi amaran tentang Lyon, kalah di halaman sendiri dan kemudian seri dengan kelab Perancis di Liga Juara-Juara musim lalu. – AFP

Pemain Lyon meraikan kemenangan mereka selepas perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara menentang Manchester City di Stadium Jose Alvalade, Lisbon semalam. – AFP