Dembele, Lenglet dan Griezmann kembali jalani latihan

BARCELONA, 30 JULAI – Barcelona menyambut kepulangan tiga pemain Perancis yang cedera, Ousmane Dembele, Antoine Griezmann dan Clement Lenglet, ketika mereka kembali berlatih menjelang perlawanan Liga Juara-Juara menentang Napoli.

Kelab itu tidak memberikan sebarang petunjuk bahawa ketiga-tiga pemain itu akan bersedia untuk perlawanan pusingan kedua menentang Napoli pada 8 Ogos.

“Berita baik hari ini adalah melihat Lenglet dan Griezmann kembali menjalani latihan secara individu di padang,” kata Barcelona di laman sesawang mereka ketika skuad itu kembali selepas berehat beberapa hari setelah berakhirnya La Liga.

Lenglet mengalami kecederaan pangkal paha pada 19 Julai dan Griezmann pula mengalami kecederaan otot di kaki kanannya pada 11 Julai.

Manakala Dembele pada awalnya mengalami kekejangan otot pada bulan November lalu dan sekali lagi mengalami kecederaan pada 3 Februari setelah kembali menjalani latihan.

Dia juga berlatih bersendirian dalam skuad utama pada hari Selasa.

“Ousmane Dembele juga telah kembali berlatih dan mematuhi garis panduan pemulihannya,” kata Barcelona. – AFP