MUNICH, 27 April – Borussia Dortmund membuat kebangkitan untuk mengejutkan pesaing ketatnya, Bayern Munich dalam kemenangan 3-2 untuk mara ke final Piala Jerman dan meranapkan impian gergasi Bavaria itu bagi kejuaraan berganda.
Satu jaringan menarik Ousmane Dembele (gambar bawah) ketika perlawanan berbaki 15 minit telah memuktamadkan separuh akhir yang berlangsung di Allianz Arena, di mana pada satu ketika Dortmund ketinggalan 2-1 di separuh masa.
“Ini adalah saat paling istimewa dalam kerjaya saya bersama Dortmund. Sukar untuk ke Munich dan menang,” kata Dembele, 19, yang baru sahaja menyertai Borussia musim ini.
Marco Reus memberikan Dortmund pendahuluan pada minit ke-19 susulan kesilapan daripada pemain Munich, Javi Martinez.
Hantaran lemah pemain antarabangsa Sepanyol itu telah dirampas oleh pemain tengah Dortmund, Raphael Guerreiro, yang menyaksikan percubaannya terkena tiang namun disudahi oleh Reus.
Martinez menebus kesilapannya dengan menjaringkan gol penyamaan menerusi tandukan sembilan minit kemudian, sebelum Mats Hummels memberikan Bayern pendahuluan 2-1 sebelum rehat.
Pierre-Emerick Aubameyang menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-69 menerusi tandukan selepas menerima hantaran lintang Dembele.
Kedudukan itu memberikan laluan bagi remaja Perancis itu untuk menjadi wira dengan meledakkan rembatan kaki kiri ke sudut atas gawang Bayern.
Kekalahan itu adalah satu malapetaka bagi jurulatih Bayern, Carlo Ancelotti, berikutan penyingkiran gergasi Bavaria itu daripada suku akhir Liga Juara-Juara di tangan Real Madrid.
Terkeluarnya Bayern daripada persaingan piala itu bermakna mereka tanpa kemenangan dalam lima perlawanan terakhir mereka, tewas dua kali dalam Liga Juara-Juara kepada Real Madrid, seri dua kali dengan Mainz dan Leverkusen dalam liga.
Dortmund akan bermain dalam peringkat final buat kali keempat berturut-turut pada 27 Mei, apabila mereka berdepan dengan Eintracht Frankfurt, yang mara ke final menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Borussia Moenchengladbach. – AFP