Demi cinta, wanita serah wang simpanan ibu kepada kekasih

KUANTAN, 4 MAC – Penangan cinta menyebabkan seorang wanita tergamak mengeluarkan wang simpanan ibunya berjumlah RM418,400 untuk diserahkan kepada kekasih yang hanya dikenali menerusi aplikasi media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata wanita berusia 28 tahun itu mendakwa berkenalan dengan suspek lelaki yang kononnya ahli perniagaan Melayu menetap di Perancis menerusi aplikasi CINTAKU pada 22 Disember lalu.

“Mangsa mendakwa telah bertukar nombor telefon selain turut berkongsi nombor akaun banknya kerana suspek berhasrat menghantar hadiah termasuk wang tunai sebagai tanda perkenalan mereka pada 26 Disember 2020, diikuti gambar sekeping cek menerusi aplikasi WhatsApp, namun perlu membuat pembayaran untuk menerima hadiah tersebut,” katanya.

Mangsa mendakwa, apabila dihitung semula, dirinya telah membuat 44 transaksi pemindahan wang ke sembilan akaun berbeza diberikan suspek, dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM418,400.

Dia yang akhirnya berasa ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut dan siasatan lanjut dijalankan. – Bernama