Demi kelancaran bersama

Oleh Daniel Lim

KUALA BELAIT, 26 JUN – Untuk membantu mempercepatkan perjalanan di seluruh sempadan antara Brunei Darussalam dan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah memulakan percubaan untuk Sistem Pemantauan Kenderaan (VMS) yang baharu bermula kelmarin.

Percubaan selama dua bulan itu menumpukan perjalanan antara Brunei dan Miri di Pos Kawalan Sungai Tujoh, di mana pemandu dikehendaki untuk mengimbas Kod Pantas (QR) semasa masuk dan keluar dari Malaysia. Seorang perwakilan di Pos Kawalan Sungai Tujoh berkata percubaan ini menyasarkan warga asing, warga Malaysia yang memegang status penduduk tetap di negara asing atau permit kerja sah mana-mana negara asing dalam pasport pemegang.

Bagaimanapun pada masa ini, sistem berkenaan hanya dikenakan bagi kenderaan Brunei yang didaftarkan yang akan memasuki Malaysia sahaja melalui Pos Kawalan Sungai Tujoh dan sehingga sempadan Miri.

Sehubungan itu, para pemandu dikehendaki untuk melayari laman sesawang www.customssg7.my untuk membuat permohonan sebelum menyeberangi sempadan untuk mendaftarkan akaun masing-masing.

Setiap pemandu dikehendaki mendaftarkan akaun, di mana pemandu boleh mendaftarkan akaun untuk pelbagai kenderaan di bawah nama mereka bagi mereka yang mempunyai pelbagai kenderaan dan menggunakannya secara berkala untuk perjalanan ke dan dari Miri.

Salah satu alat pengimpas bagi Sistem Pemantauan Kenderaan yang digunakan.

Selain itu, sistem yang digunakan oleh pihak berkuasa juga termasuk senarai kenderaan yang didaftarkan di bawah akaun pemandu yang mana pemandu sendiri boleh menyemak untuk melihat berapa kali mereka menggunakan kenderaan mereka untuk menyeberangi sempadan ke dan dari Miri.

Di samping itu, sistem akan ditingkatkan sepanjang tempoh percubaan dalam usaha memudahkan urusan orang ramai bagi membantu memastikan pengguna dapat mendaftarkan akaun dan kenderaan mereka ke dalam sistem ini.

Salah satu usaha yang akan dipertingkatkan dalam sistem ini ialah pengunaan Bahasa Inggeris kerana buat masa ini, laman sesawang tersebut hanya boleh diakses dalam Bahasa Melayu.

Perwakilan itu juga menyatakan bahawa selepas pendaftaran kenderaan di dalam laman sesawang berkenaan, pemandu masih perlu membawa semua dokumen yang diperlukan seperti kad biru, insurans, serta pasport bagi pegawai kastam mengesahkan kod yang berkaitan dengan kenderaan dan pemandu.

Semasa percubaan dijalankan selama lebih dua bulan, peraturan yang sama dengan sistem terdahulu masih terpakai, di mana apabila kod QR tamat tempoh iaitu selepas selama tiga bulan dari masa pendaftaran, para pemandu dikehendaki untuk mendaftarkan kenderaan mereka sekali lagi di laman sesawang yang sama untuk memperbaharui kod tersebut serta diperiksa oleh pegawai kastam bersama dengan dokumen sah seperti sebelumnya.

Dengan ujian percubaan itu masih beroperasi sehingga 26 Ogos nanti, Pos Kawalan Sungai Tujoh ingin memaklumkan kepada orang ramai bagi memberikan kerjasama sepenuhnya untuk memastikan pelaksanaan percubaan ini berjalan dengan lancar.