Oleh Salawati Haji Yahya –
Seorang guru yang berjasa itu adalah individu yang mempunyai sikap berani mengajar dan tidak berhenti belajar. Tanpa adanya guru sedemikian, adalah sangat sukar untuk mewujudkan sebuah cita-cita atau memajukan sesebuah bangsa.
Salah seorang penerima Anugerah Guru Berjasa sempena Sambutan Hari Guru 2023, Haji Hambali bin Haji Awang Tengah, 85, telah berkongsi perjalanan dan pengalamannya dalam bidang pendidikan sebagai seorang pendidik bermula tahun 1954 hingga awal 1980an.
Ketika ditemu bual oleh penulis di kediamannya, beliau turut berkongsi perasaan terharu dan tidak menyangka bahawa pada usianya yang sudah lanjut dan setelah bersara selama 30 tahun dengan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, beliau masih berpeluang menjadi penerima anugerah yang amat besar buat diri dan keluarganya.
Dengan penganugerahan tersebut, beliau berterima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, khususnya Kementerian Pendidikan.
PERJALANAN SEBAGAI SEORANG PENDIDIK
Beliau bermula sebagai guru pelatih pada 1954 dan telah mengajar di beberapa buah sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Sultan Umar Ali Saifuddin, Muara; Sekolah Rendah Sultan Umar Ali Saifuddin, Sungai Hanching dan Sekolah Rendah Muhammad Alam, Seria.
Semasa mula menceburi bidang perguruan, beliau banyak menerima pendedahan dengan mengikuti kelas-kelas perguruan, latihan dan kursus di luar negara seperti Malaysia dan Singapura.
Bagi memantapkan dan menimba ilmu dengan lebih mendalam, penerima Anugerah Guru Berjasa itu telah melanjutkan pengajian dalam bidang perguruan di Maktab Perguruan Melayu dari 1958 hingga 1960.
Beliau mengikuti pengajian di maktab berkenaan selama tiga tahun itu adalah untuk mendapatkan sijil perguruan sebagai guru terlatih dan semasa di maktab berkenaan, beliau juga pernah dilantik sebagai ketua penuntut tahun 1 hingga tahun 3 di mana pada masa itu hanya menerima elaun sebanyak $30 sahaja.
Beliau berbangga kerana telah menjadi kumpulan pertama yang menerima sijil perguruan setelah tamat pengajian di maktab berkenaan pada tahun 1960.
Dari sana, perjalanan dan pengalaman sebagai seorang pendidik terus berkembang di mana beliau telah ditugaskan untuk mengajar di Sekolah Rendah Muhammad Alam, Seria selama satu tahun.
Menurutnya, pada waktu itu, beliau telah diberikan mandat untuk mengajar murid Tahun 5 bagi semua mata pelajaran. Hal ini kerana pada waktu itu, adalah menjadi kebiasaan bagi guru-guru untuk mengajar semua mata pelajaran seperti Matematik, Bahasa Melayu, Ilmu Alam dan Sejarah.
CABARAN MEMBUAT PERSIAPAN MENGAJAR
“Dengan ilmu yang diperolehi semasa di maktab perguruan, kami telah mempelajari mata pelajaran tertentu. Alhamdulillah, semua pelajar tahun 5 yang saya ajar yang terdiri daripada pelajar perempuan telah berjaya lulus dan melanjutkan pengajian ke tingkatan enam,” katanya.
Pada zaman mengajar dulu, jelasnya, kemudahan dan persiapan pengajaran hanya menggunakan sukatan buku-buku teks sahaja berbanding pada masa ini, banyak kemudahan telah pun disediakan, malah ia juga mudah diperoleh.
Di samping mengajar di Sekolah Rendah Muhammad Alam, beliau juga ditugaskan untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah Cina dan juga Maktab Anthony Abell, Seria.
PILIHAN TANPA DIDUGA
Mengimbas kembali bagaimana boleh menjadi guru, katanya, pada tahun 1950an tidak ramai yang menjadi guru dan sebaik saja tamat pengajian darjah 5, beliau telah diminta untuk menjadi guru pelatih walaupun hanya berbekalkan ilmu yang tidak seberapa.
Dengan berbekalkan ilmu dan pengetahuan yang dipelajari untuk mendidik anak bangsa, beliau terus berusaha meningkatkan dan menimba ilmu untuk memberi pendidikan dan ilmu yang terbaik kepada pelajar.
Beliau telah mengambil inisiatif menghadiri kelas guru yang dibuat pada setiap Sabtu di mana kelas tersebut diadakan di ibu negara.
Sambil tersenyum, beliau mengingat kembali kenangan bersama seorang rakannya yang telah mengayuh basikal dari Muara ke Bandar Seri Begawan seawal pukul 4 pagi hanya untuk menghadiri kelas guru berkenaan.
“Jika diimbas kembali kenangan tersebut, mengayuh basikal yang mengambil masa ada kalanya lebih dua jam adalah satu semangat yang tidak dapat digambarkan demi meningkatkan ilmu dalam bidang perguruan ini,” katanya.
Beliau ditukarkan ke Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA) selepas sekolah tersebut membuka darjah 9.
“Pada masa itu, darjah 9 adalah bersamaan dengan tingkatan 3 pada masa ini dan saya ditukar ke SM SMJA untuk mengajar Ilmu Alam. Ini adalah pengalaman pertama saya mengajar di sekolah menengah,” katanya.
PENGALAMAN DAN ILMU
Dari guru pelatih dan kemudian menjadi guru terlatih, beliau terus saja mendapat peluang untuk meningkatkan ilmu dalam bidang ini dan ia dapat dilihat melalui pengalaman pengajaran di beberapa buah sekolah, institusi pengajian tinggi, dan juga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Katanya lagi, sebaik saja Sekolah Menengah Melayu Pertama (SMMP) baharu dibuka, beliau telah diberikan mandat untuk mengajar di sekolah berkenaan.
Menurutnya lagi, guru-guru yang mengajar di SMMP itu bukan sahaja disuruh mengajar malah pada masa yang sama disuruh meningkatkan diri dengan belajar pada sebelah petang bagi mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1964.
Pada ketika itu, jelasnya, lapan orang telah lulus peperiksaan dengan mendapat empat O sekali gus menjadi kumpulan pertama yang mengambil peperiksaan SPM yang mana peperiksaan ini sama seperti peperiksaan O Level.
Beliau juga pernah ditugaskan sebagai guru pinjaman di ABDB dengan menjawat jawatan sebagai pegawai pelajaran dan mengajar mata pelajaran Ilmu Alam selama dua tahun.
Kemahiran mengajar mata pelajaran tertentu itu tidak hanya terhad ke sekolah-sekolah kerajaan dan institusi sahaja, malah beliau telah diberi kepercayaan untuk mengajar pelajaran Jawi.
Menurutnya, pada ketika itu, banyak pelajar tidak pandai pelajaran Jawi dan sekolah pada waktu itu ada yang belajar dan ada juga yang tidak belajar Jawi, hanya mengharapkan sekolah agama sahaja. Disebabkan hal itu, beliau telah diberikan mandat untuk mengajar penuntut tahun 1 hingga 3 bagi mata pelajaran tersebut.
Di samping menimba ilmu perguruan di Malaysia, beliau juga dihantar mengikuti kursus di Singapura selama setahun dalam bidang Bahasa, Sastera dan Linguistik.
TUGAS TERAKHIR SEHINGGA BERSARA
Melihat pengalaman mengajar dari tahun 1954, beliau akhirnya ditempatkan di Jabatan Perkembangan Kurikulum (JPK) dari 1983 hingga 1993.
Semasa di JPK, beliau telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Bahagian Bahasa Melayu, Sastera, Jawi dan Ugama untuk menyusun kurikulum.
“Pada masa itu juga saya telah memasukan sukatan pelajaran Jawi ke sekolah-sekolah Cina dan sekolah misi,” katanya.
“Sebelum itu, sukatan pelajaran tidak ada dalam kurikulum di sekolah Cina yang mana pada mulanya mereka enggan untuk menerima pelajaran Jawi kerana beranggapan ia adalah pelajaran agama tetapi setelah diterangkan, barulah mereka menerima dan ia terus diaplikasikan sehingga kini.”
Beliau juga turut menekankan bahawa peperiksaan dalam sukatan pelajaran mestilah ada tulisan jawi. Oleh sebab itu, mereka terpaksa belajar pelajaran tersebut.
Selain itu, JPK juga membuat buku-buku teks Jawi, Melayu Islam Beraja dan buku kerja untuk murid-murid.
Walaupun sudah tidak mengajar lagi, semangat untuk berkongsi ilmu dengan guru-guru dan rakan yang lain masih berkobar-kobar. Semasa di JPK, beliau juga sering mengadakan kursus untuk menerangkan kepada guru-guru mengenai perubahan kurikulum, ejaan rumi dan jawi sesuai peredaran zaman, darjah dan tingkatan masing-masing.
Semasa di JPK, beliau juga mengubah buku-buku teks mata pelajaran Sastera tingkatan 4 dan 5, yang mana buku-buku teks terbitan penulis-penulis Malaysia diubah ke buku-buku teks Sastera oleh penulis-penulis Brunei. Ini termasuk sajak, cerpen dan juga novel.
PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DULU DAN MASA KINI
Perkembangan pendidikan jika diban-dingkan dulu dan sekarang, ia adalah sangat ketara dengan adanya teknologi-teknologi, cara-cara mengajar yang baharu, peralatan, buku-buku, sumber rujukan dan alat-alat bantu mengajar.
“Guru-guru haruslah mengikuti perubahan tersebut, jangan mendiamkan diri dan teruskan belajar supaya ilmu yang baharu dapat diterjemahkan dan disampaikan kepada para penuntut,” tekannya.
Ibu bapa juga perlu memainkan peranan untuk memantau perkembangan pendidikan anak-anak dan bukan hanya mengharapkan guru-guru dan pihak sekolah sahaja.
MASIH DIGUNAPAKAI
“Saya berpuas hati kerana sejak 30 tahun yang lalu, apa yang kami buat semasa di JPK masih digunakan pada masa ini, dan mungkin dari sana mereka mengukur karya kami bukan saja dari segi pendidikan tapi juga jasa kepada negara.
“Ini adalah satu kebanggaan kepada saya dan guru-guru yang lain atas usaha kami demi kebaikan anak-anak bangsa kita,” tambahnya.
Menurutnya, pada tahun 1960an, sistem pendidikan Brunei masih saja mengikuti sistem pendidikan Malaysia.
“Pada ketika itu, guru-guru Brunei banyak yang mengikuti latihan guru di Malaysia iaitu Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim dan kebanyakan mereka telah membawa bahan-bahan berupa buku rujukan untuk diguna pakai di negara ini.
“Sehinggalah tertubuhnya JPK pada tahun 1970an, barulah kurikulum pelajaran disusun kembali secara terperinci untuk semua mata pelajaran dan ia telah dilaksanakan pada tahun 1983,” katanya.