Demi keluarga, Julia Ziegler ketepikan dunia lakonan

Kehadiran cahaya mata kedua, Rayden Johan melengkapi kehidupan pelakon, Julia Ziegler dan suami.

Berkongsi gambar Rayden yang kini berusia 20 hari bersama kakak sulung, Ivana Johan, Julia bersyukur dikurniakan cahaya mata lagi dalam usia 36 tahun.

“Sukar nak gambarkan apabila sudah memiliki dua cahaya mata. Jarak anak pertama dan kedua juga dekat. Apa pun, saya tak pernah terbeban kerana aturan Tuhan sangat cantik.

“Fasa hidup ini sudah beralih tanggungjawab. Saya bukan Julia yang dahulu. Tak sangka saya sudah punya dua anak.

“Lebih manis, saya dikurniakan sepasang cahaya mata,” katanya kepada media.

Julia Ziegler sukar memberi keputusan kembali beraksi di depan kamera. – Agensi

Julia atau nama sebenarnya, Julia Bob Fauzi Ziegler berkata, kasih sayang ditumpahkan kepada dua cahaya mata tak pernah berkurangan, biarpun jurang usia sangat dekat.

“Mungkin ada cakap, belum sempat Ivana membesar dan dapat kasih sayang, kena bahagi bersama adiknya pula.

“Semua ini hanya pandangan mata sahaja. Sebagai isteri dan ibu, saya mahu dua anak menikmati keindahan dan kasih sayang tanpa prejudis.

“Selama ini, saya banyak mengorbankan masa dan minat dalam lakonan untuk memberi perhatian kepada membesarkan Ivana. Dalam hidup ini, saya harus membuat pilihan. Inilah saat paling seronok apabila menikmati fasa bergelar ibu,” katanya.

Julia berkata, dia sukar memberi keputusan kembali beraksi di depan kamera. “Tak tahulah bila nak berlakon semula. Perasaan rindu memanglah ada, tetapi tanggungjawab terhadap anak dan suami diutamakan.

“Saya mahu menikmati peluang melihat anak membesar depan,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan jurutera mekanikal yang dikenali sebagai Johan pada 1 Januari 2017. – Agensi