Demi kesejahteraan kanak-kanak

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Seramai 30 orang profesional kesihatan dan 21 pemerhati menyertai Kursus Pengenalan terhadap Perlindungan Kanak-kanak untuk Profesional Kesihatan yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Majlis pembukaan kursus anjuran bersama Pusat Perkembangan Kanak-kanak, Kementerian Kesihatan dan Perkhidmatan Latihan Al Majaz itu telah diadakan di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar.

Yang Berhormat Dato dalam ucapannya menekankan bahawa menjadi tanggungjawab semua untuk mencipta dan mengukuhkan undang-undang, dasar-dasar dan mekanisme agar kanak-kanak boleh dilindungi daripada pendera dan pemangsa.

Beliau mengongsikan bahawa statistik daripada Pasukan Polis Diraja Brunei menunjukkan jumlah kes penderaan kanak-kanak dari tahun 2014 dan 2018 meningkat sebanyak 23 peratus, dan setiap tahun bahagian kerja sosial perubatan menerima kira-kira 300 kes bagi pelbagai kebimbangan perlindungan kanak-kanak. Ia termasuklah purata 30 kehamilan remaja dan antara 40 hingga 50 kes penderaan kanak-kanak setiap tahun.

“Matlamat utama kami adalah untuk menghentikan keganasan sebelum ia bermula dan pencegahan memerlukan pemahaman tentang faktor-faktor yang mempengaruhi keganasan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika sesi bergambar ramai bersama peserta kursus.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham semasa menyampaikan ucapannya.
Antara yang hadir pada majlis tersebut.

“Empat peringkat Model Ekologi untuk Pencegahan Keganasan yang digunakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membantu kita memahami hal ini dan menerangkan bagaimana keganasan sebenarnya boleh berlaku hasil daripada interaksi dalam beberapa faktor seperti – tahap individu, hubungan, komuniti dan masyarakat,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Menurut beliau lagi, oleh sebab faktor interaksi yang begitu banyak peringkat, melindungi kanak-kanak daripada keganasan memerlukan pendekatan seluruh negara.

Agensi-agensi yang memainkan peranan bukan sekadar kesihatan, pendidikan dan kebajikan sosial, tetapi juga penguatkuasaan undang-undang, Biro Kawalan Narkotik, Mahkamah Syariah, penyedia perkhidmatan Internet, Jabatan Buruh dan imigresen, dan jabatan perumahan serta banyak lagi, tambah beliau.

Pengendalian kursus berkenaan diketuai oleh Perunding Antarabangsa bagi Hak Kanak-kanak (Perunding kepada Pejabat Negara UNICEF), Dr Henry Ruiz yang juga merupakan penceramah pada sesi plenari majlis perasmian dengan tajuk ‘Strengthening the Interdisciplinary Approach Towards Effective Prevention and Treatment of Child Abuse and Neglect in Brunei Darussalam’.

Kursus tersebut akan membolehkan semua peserta menghayati kepentingan melindungi kanak-kanak, memahami kewajipan dan tanggungjawab mereka terhadap melindungi kanak-kanak dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam mengenali tanda-tanda amaran dan manifestasi penderaan kanak-kanak dan dalam memberikan tindak balas yang sesuai, contohnya rakaman yang tepat dan laporan mandatori, merujuk, tindak balas segera dan sebagainya.

Kursus akan membincangkan mengenai perlindungan kanak-kanak dalam konteks peruntukan perlindungan kanak-kanak Konvensyen Hak-hak Kanak-kanak (CRC) dan Rangka Kerja dan Strategi Perlindungan Kanak-kanak.

Ia juga akan memberikan gambaran umum tentang perlindungan kanak-kanak dalam keadaan yang berbeza, pentingnya pengurusan pelbagai kes disiplin kanak-kanak mangsa penyalahgunaan dan keganasan, dan peranan profesional kesihatan dalam pengurusan kes.

Pada penghujung latihan, perbincangan awal juga akan diadakan untuk memperkembangkan Dasar Perlindungan Kanak-kanak bagi kakitangan kesihatan dan kakitangan bukan kesihatan lain di fasiliti kesihatan.