Demi sara keluarga, lelaki tua jalan kaki 3km

IDLIB, Syria, 19 April – Seorang pelarian Syria, Abu Bilal, 52, berkongsi pengalamannya berjalan kaki sejauh tiga kilometer dari kota Talul Karamah ke kota berdekatan setiap hari untuk bekerja bagi mendapatkan duit membeli makanan buat kambing ternakannya dan baja bagi tanamannya.

Lelaki tua yang berasal dari kota Hama itu berkata duit hasil titik peluhnya itu juga digunakan bagi membeli bekalan makanan dan ubat-ubatan buat diri dan kedua-dua anak kecilnya.

“Bagi mencari duit untuk membeli makanan kambing-kambing yang saya ternak, baja-baja dan biji benih tanaman, bekalan makanan dan ubat-ubatan, saya terpaksa melakukan pelbagai jenis kerja dengan berjalan kaki tiga kilometer setiap hari dari kota Talul Karamah ke kota-kota sekitar.

“…dan itulah rutin saya bagi menyara keluarga sendiri,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kem Al Aghedad di kota Talul Karamah kelmarin.

Katanya selain menternak kambing, beliau juga mengusahakan tanaman buah tomato, ubi kentang dan sayur timun untuk dimakan, yang mana beliau akan menyedekahkan lebihan hasil tanamannya itu kepada rakan-rakannya yang susah di sekitar kem.

Abu Bilal menunjukkan kambing ternakannya di kem Al Aghedad, kota Talul Kamarah, semalam. – Bernama

Beliau turut menceritakan detik cemas ketika kampungnya diserang tentera Bashar Al Assad tiga bulan lalu, yang mana beliau melarikan diri bersama kedua-dua anaknya yang masing-masing berumur 10 dan 9 tahun sebelum tiba di kem itu untuk berteduh bersama hampir 100 keluarga pelarian yang lain.

“Marabahaya tidak pernah berhenti menghantui saya sekeluarga, yang mana tiga bulan lalu kami terpaksa lari dari kampung kami di Hama kerana telah di-serang tentera Al Assad dan malangnya isteri saya syahid ketika serangan itu.

“Namun apabila tiba dan menetap di kem ini, kami menyangka kami telah selamat tetapi baru sahaja seminggu lepas kem ini telah dibedil bom mortar oleh pesawat tentera Al Assad sehingga mengorbankan 17 nyawa,” kata Abu Bilal.

Beliau ditemui ketika delegasi daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) tiba di kem Al Aghedad bagi menyampaikan bantuan 100 buah khemah baharu bagi menggantikan khemah-khemah yang telah lusuh dan rosak.

Delegasi seramai 11 orang itu turut sama bergotong-royong bagi memasang kesemua khemah itu bersama-sama penerima.

Ketua Pegawai Eksekutif Mapim yang juga Ketua Delegasi Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery berkata keunikan khemah baharu itu ialah ianya dilengkapi dengan pintu besi dan mempunyai selak kunci dari dalam bagi mengelakkan khemah dimasuki haiwan atau serangga berbahaya. – Bernama