Demi zahirkan semangat patriotik

KOTA BHARU, 26 OGOS – Bagi menzahirkan semangat patriotik, seorang warga emas mengambil inisiatif menyemarakkan Bulan Kebangsaan kali ini dengan menghias beca miliknya menggunakan Jalur Gemilang.

Wang ringgit bukan ukuran bagi Che Kamarudin Che Amat, 61, kerana apa yang penting baginya adalah menzahirkan rasa semangat dan cinta terhadap negara dengan cara tersendiri sehingga sanggup membelanjakan wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diterimanya.

Malah, berkat idea kreatif dengan menggantungkan Jalur Gemilang serta bunga-bungaan itu pasti ‘memukau’ perhatian sesiapa sahaja yang melihat beca miliknya itu setiap kali menyusuri jalan di sekitar bandar Kota Bharu.

“Memandangkan pendapatan saya sebagai penunggang beca yang tidak menentu, saya menghias beca ini selama seminggu bermodalkan sebanyak RM300 menggunakan wang BPN yang diperoleh.

“Walaupun jika hendak dibandingkan nilai itu tidaklah sebesar pengorbanan pemimpin dan perajurit terdahulu yang banyak berjasa kepada negara namun, saya berpuas hati sekurang-kurangnya saya dapat menzahirkan rasa cinta terhadap negara melalui cara ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Perkarangan Pasar Siti Khadijah, di sini hari ini.

Bapa kepada 10 anak berusia lingkungan 10 hingga 34 tahun yang sudah 36 tahun menunggang beca itu mengakui ramai terpegun dan memandang beca miliknya yang dihias cantik dengan Jalur Gemilang malah ada yang sanggup membayarnya untuk tujuan mengambil gambar. – Bernama

Beginilah semangat patriotik yang ditunjukkan oleh seorang pengayuh beca, Che Kamaruddin Che Amat, 61, dengan menghiasi becanya dengan Jalur Gemilang di Pasar Siti Khadijah, kelmarin. – Bernama