Tuesday, April 16, 2024
36 C
Brunei

    -

    Demonstrasi diteruskan meskipun darurat

    BOGOTA, COLOMBIA, 18 JAN – Penunjuk perasaan dari seluruh negara tiba di ibu negara baru-baru ini bagi mengadakan demonstrasi menentang Presiden Peru, Dina Boluarte dan menuntut kerajaan mengadakan pilihan raya dengan segera, lapor agensi Anadolu.

    Beribu-ribu penunjuk perasaan, kebanyakannya dari selatan negara itu telah berkumpul di Lima sejak beberapa hari lalu untuk menyertai protes yang bermula pada 7 Disember apabila bekas Presiden, Pedro Castillo digulingkan dan ditahan selepas cuba membubarkan Kongres dan memerintah melalui dekri.

    Penunjuk perasaan turut memasang penghadang di lebuh raya utama. Terdapat lebih 100 jalan utama disekat, menyebabkan kesesakan lalu lintas.

    Polis Peru baru-baru ini bertindak mengalihkan penghadang yang diletakkan oleh penunjuk perasaan di beberapa jalan di Lebuhraya Pan-Amerika serta Lebuhraya Interoceanic di wilayah Amazon.

    Kerajaan sebelum ini mengisytiharkan darurat selama 30 hari di beberapa wilayah, termasuk Lima dan memberi kuasa kepada tentera untuk campur tangan bagi menjaga ketenteraman awam. Boluarte berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan penunjuk perasaan apabila mereka tiba di Lima.

    “Saya menjemput awda untuk datang ke Lima dengan aman. Kami mengalu-alukan kedatangan awda supaya awda boleh menyatakan permintaan secara aman.

    “Saya akan menunggu awda di kediaman presiden agar kita boleh berbincang tentang agenda sosial berdasarkan saranan awda,” katanya.

    Setakat ini, 50 orang maut sejak protes bermula pada Disember. – Bernama

    Penunjuk perasaan mengadakan protes di Lima, Peru, baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sapporo alami musim panas paling awal

    TOKYO, 15 APRIL - Suhu di bandar utara Jepun, Sapporo melepasi 25 darjah Celsius, catatan paling awal dalam mana-mana tahun dalam rekod, kata seorang...