Demonstrasi kesan, tangkap buaya dengan selamat

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 23 OGOS – Ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Liang bersama beberapa orang penduduk kampung berkenaan, kelmarin, telah menghadiri demonstrasi mengenai cara mengesan dan memerangkap buaya.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha untuk memastikan bahawa agensi-agensi dan kumpulan berkaitan dilengkapi pengetahuan untuk mengesan dan memerangkap buaya yang berpotensi bertembung dan membahayakan penduduk.

Diadakan di kawasan Pantai Sungai Liang, aktiviti berkenaan dianjurkan oleh Bahagian Hidupan Liar, Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan. Antara tujuannya adalah untuk membantu memberigakan maklumat mengenai kemahiran dan pengetahuan berkaitan persiapan, pengesanan dan memerangkap buaya yang kerap muncul.

Pemangku Ketua Kampung Sungai Liang, Haji Mohd Ibrahim bin Datu Maharaja Setia Dian ketika ditemui menjelaskan bahawa demonstrasi yang dijalankan oleh pegawai dan kakitangan dari Bahagian Hidupan Liar, Jabatan Perhutanan itu adalah sebagai respons kepada peningkatan kemunculan buaya terutamanya di sepanjang tebing sungai kampung berkenaan, dalam beberapa bulan kebalakangan. Menurut beliau, dengan demonstrasi berkenaan, ahli-ahli MPK dan penduduk kampung dapat mempelajari pelbagai kemahiran dan pengetahuan seperti membuat ikatan tertentu serta penggunaan peralatan yang sesuai untuk menangkap buaya dengan selamat sebelum ia mengancam penduduk.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk menasihatkan penduduk kawasan berkenaan serta penduduk yang tinggal berdekatan dengan kawasan yang kerap muncul buaya, supaya bertenang dan menjarakkan diri serta memaklumkan agensi-agensi berkaitan dan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut.

Beberapa peralatan yang digunakan untuk menangkap dan memindah buaya dipamerkan semasa demonstrasi berkenaan.
Salah satu demonstrasi yang dijalankan untuk penduduk kampung.