DHAKA, 2 Ogos – Bangladesh hari ini telah menutup sekolah-sekolah tinggi di seluruh negara ketika puluhan ribu pelajar mengadakan demonstrasi pada hari kelima berturut-turut selepas dua remaja maut akibat dilanggar bas laju.
Sektor pengangkutan Bangladesh dilihat sebagai industri dicemari rasuah, tidak terkawal dan berbahaya, dan ketika berita mengenai kematian remaja tular dengan cepatnya di media sosial, ia menjadi penyebab kepada tunjuk perasaan besar-besaran itu berlaku.
Pihak berkuasa telah meminta pelajar membatalkan demonstrasi yang hampir melumpuhkan bandar Dhaka dan merebak di luar ibu negara, di mana kenderaan dirosakkan dan pertembungan dengan anggota polis di beberapa bahagian.
Para penunjuk perasaan, kebanyakannya pelajar di peringkat remaja, melaungkan ucapan ‘kami mahu keadilan’ hari ini ketika mereka meredah hujan berjalan di Dhaka, menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Kementerian Pendidikan telah menutup sekolah-sekolah tinggi hari ini dalam usaha meleraikan demonstrasi itu, menjanjikan pelajar tuntutan mereka bagi pembaharuan keselamatan jalan raya akan dipertimbangkan.

Namun kemarahan itu tidak reda selepas sebuah bas laju telah melanggar seorang lelaki dan seorang perempuan di tepi jalan Ahad lalu.
Penunjuk perasaan menyalahkan kerajaan kerana gagal menguatkuasakan undang-undang lalu lintas, dan kenyataan yang tidak sensitif oleh seorang menteri kerajaan yang berpengaruh dengan kesatuan pengangkutan, Shajahan Khan mencetuskan kemarahan baharu.
Khan mempersoalkan mengapa ada kekecohan terhadap dua remaja Dhaka namun tiada reaksi apabila 33 orang terbunuh dalam kemalangan bas India sehari sebelumnya.
Susulan komen itu, tuntutan meluas di media sosial telah diadakan bagi menggesa Khan untuk meletak jawatan meskipun menteri itu meminta maaf.
Pihak berkuasa mengatakan lebih daripada 300 kenderaan telah dirosakkan sejak protes itu bermula.
Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan semalam telah berjanji bahawa kerajaan akan melancarkan kempen keselamatan pengangkutan awam dan menggesa penunjuk perasaan pulang ke rumah.
“Orang ramai menderita dan kami tidak mahu ini,” katanya.
Menurut Jawatankuasa Kebangsaan bagi Melindungi Pengiriman, Jalan Raya dan Kereta Api, sebuah kumpulan penyelidikan swasta, lebih daripada 4,200 pejalan kaki terbunuh dalam kemalangan jalan raya tahun lepas, peningkatan 25 peratus daripada tahun sebelumnya. – AFP