Demonstrasi produk Philips menerusi media sosial

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Orang ramai berpeluang untuk menyaksikan demonstrasi pelbagai produk Philips secara langsung menerusi platform atas talian media sosial Facebook Intracorp sebagai sebahagian daripada Kempen Stay Home Stay Safe.

Demonstrasi produk yang berlangsung di Intracorp Megastore, Gadong, hari ini itu memberi peluang kepada orang ramai khususnya pelanggan dan pengikut syarikat tersebut untuk menyaksikan cara memanfaatkan serta menggunakan produk-produk terkini yang ditawarkan melalui siaran langsung menerusi media sosial Facebook Intracorp.

Semasa demonstrasi itu, DJ Frankie Chan mengongsikan pelbagai tip kepada para pelanggan mengenai manfaat menggunakan peralatan Philips dalam memudahkan pelbagai kegiatan pengurusan rumah harian.

Sepanjang siaran langsung tersebut, para pelanggan dan pengikut juga disajikan dengan tawaran-tawaran istimewa, hadiah percuma dengan setiap pembelian serta kuiz yang menawarkan hadiah-hadiah menarik untuk dimenangi.

Empat produk berjenama Philips telah diketengahkan semasa demonstrasi itu termasuk Airfryer XXL-HD9654/91, Smart System Generator-GC7933/36, Air Purifier-AC2887/30 dan SpeedPro Aqua Vacuum-FC6728/01.

Kempen Stay Home Stay Safe yang dikendalikan oleh Intracorp (B) Sdn Bhd adalah sebagai usaha berterusan untuk melaksanakan tanggungjawab sosialnya dan memupuk langkah pencegahan serta menyokong garis panduan Kementerian Kesihatan bagi penjarakan sosial.

Sementara itu, bagi Kempen we deliver care #philips deliver, mereka menawarkan penghantaran percuma bagi pelanggan-pelanggan yang membuat pembelian barangan Philips lebih $300, tetapi bagi barangan kurang daripada $300, para pelanggan masih boleh melayari http://www.e-hub.store untuk menikmati penghantaran percuma tanpa sebarang perbelanjaan minimum sepanjang tempoh kempen sehingga hujung Julai.

Intracorp sedang bekerjasama dengan rakan-rakan kongsinya untuk memberikan yang terbaik bagi membawa barangan elektronik yang terbaik kepada mereka tanpa perlu meninggalkan kediaman mereka.

Kakitangan Intracorp menunjukkan demonstrasi membuat minuman berkhasiat menggunakan produk Philips semasa siaran langsung menerusi Facebook yang dihoskan oleh Frankie Chan.