Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Dis – Ekspo Gempak Bonus 2017 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, petang tadi, telah dimeriahkan lagi dengan demonstrasi solekan oleh seorang mekap artis tempatan.
Dayang Ryana Munap yang merupakan wakil negara dalam pertandingan D’Academy Asia 2 telah diundang untuk membuat demonstrasi dalam acara berkenaan.
Starbugs Event Management selaku penganjur menjelaskan bahawa demonstrasi berkenaan bertujuan bagi berkongsi maklumat dengan orang ramai mengenai alat solekan yang tepat, kelengkapan serta produk yang tepat untuk digunakan ketika bersolek.

Turut dikongsikan adalah beberapa tip bagaimana memilih warna yang sesuai bagi kulit wajah yang tertentu.
Demonstrasi yang berlangsung selama dua jam itu juga menyentuh mengenai cara membuat suatu dandanan menjadi menarik dan menyerlah selain mengajar cara membersihkan dan menanggalkan solekan daripada wajah setelah digunakan dengan cara yang betul.
Selain itu, ekspo turut dimeriahkan dengan pertandingan pertunjukan kostum kanak-kanak, cabutan bertuah dan pesta jualan barang-barangan tempatan dan luar negara.