Denai ahli alamiah terkenal Itali akan dibuka di Sarawak

KUCHING, 21 JULAI – Satu denai bersejarah yang menampilkan penemuan ahli alamiah Itali yang terkenal, Odoardo Beccari, akan dibuka Jumaat ini di Kampung Matang, kira-kira 17 kilometer dari pusat bandar raya Kuching.

Dinamakan Beccari Discovery Trail, usaha itu adalah hasil kerjasama di antara Friends of Sarawak Museum (FoSM), satu kumpulan sukare-lawan bertujuan mempromosikan peranan muzium dan warisan Sarawak serta Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak bagi memperingati ulang tahun kematian Beccari yang ke-100 tahun.

“Beccari Discovery Trail menampilkan 12 papan maklumat mengenai sesetengah haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang ada di sepanjang denai, ladang teh yang dibuka oleh Rajah Charles (Raja Putih Sarawak kedua) dengan bantuan Beccari serta pondok ladang Beccari yang digelar ‘Vallombrosa’,” demikian menurut FoSM dalam kenyataan hari ini.

Beccari tiba di Sarawak pada 19 Jun 1865 sebagai pemuda berusia 22 tahun yang mempunyai minat mendalam terhadap penemuan saintifik.

Sepanjang dua tahun berada di Borneo, beliau mengumpul dan mendokumentasi lebih 4,000 spesimen, kebanyakannya tumbuh-tumbuhan selain serangga, unggas dan mergastua termasuk orang utan di Matang serta beberapa tempat lain di Sarawak seperti Batang Lupar, Tubau dan Belaga.

Dilahirkan pada 16 November 1843 dan meninggal dunia pada 25 Oktober 1920, beliau diiktiraf sebagai saintis terkemuka pada zamannya, berikutan sumbangannya terhadap pengetahuan saintifik yang diperoleh ketika di Sarawak. – Bernama