Denda £10,000 jika langgar larangan COVID-19

LONDON, 20 SEPT – Penduduk England yang mengingkari arahan pengasingan diri bagi mengekang penularan COVID-19 boleh didenda sehingga £10,000 di bawah peraturan baharu lebih tegas yang diumumkan semalam.

Perdana Menteri, Boris Johnson, berkata Britain kini sedang menghadapi gelombang kedua serangan virus itu dan mengumumkan perintah larangan baharu terhadap jutaan penduduknya di barat laut, utara, dan tengah England.

“Selain itu, mulai 28 September ini, mereka yang disahkan positif COVID-19 atau terbabit dalam pengesanan kontak oleh Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), diwajibkan menjalani pengasingan diri.

“Kaedah terbaik bagi melawan virus ini ialah dengan semua orang mematuhi peraturan dan melakukan pengasingan diri jika berisiko menyebarkan virus.

“Jangan pandang remeh kerana di bawah peraturan baharu ini anda diwajibkan oleh undang-undang untuk melakukan pengasingan diri jika positif COVID-19 atau diarah berbuat demikian oleh NHS,” katanya dalam satu kenyataan.

Buat masa sekarang, mereka yang mempunyai simptom atau disahkan positif virus itu diminta melakukan pengasingan diri selama 10 hari dan 14 hari bagi mereka yang tinggal bersama individu mempunyai simptom atau disahkan positif.

Denda pula bermula dari £1,000 bagi kesalahan melanggar perintah kuarantin selepas ke luar negara, sehingga £10,000 bagi kesalahan berulang dan pelanggaran peraturan yang serius. – AFP

Seorang pegawai polis menumbuk seorang penunjuk perasaan pada bantahan menentang pemvaksinan dan sekatan kerajaan bertujuan mengawal penularan koronavirus, termasuk pemakaian penutup mulut dan hidung dan perintah berkurung, di dataran Trafalgar pada 19 September 2020. – AFP