Denda $3,000, curi alat ganti kereta

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Seorang lelaki penduduk tetap telah dijatuhi hukuman denda $3,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar setelah didapati bersalah atas kesalahan mencuri alat ganti kereta, kelmarin.

Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menjatuhkan hukuman tersebut setelah mendengarkan pendakwaan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Firdaus bin Mohammad terhadap Muhammad Danial bun Abdullah Wong @ Wong Hon Yet, 40.

Tertuduh mencuri penyerap renjatan dan caliper brek daripada sebuah kereta yang diletakkan di sebuah rumah di Jalan Sungai Lalit, Lumut pada jam 10:30 pagi 17 Februari 2019 yang lalu.

Majistret Hajah Ervy Sufitriana pada akhir perbicaraan mengatakan bahawa pembelaan terdakwa yang menyatakan bahawa rumah dan kereta berkenaan kelihatan terbiar adalah tidak wajar. Perbuatan tertuduh adalah suatu tindakan yang tidak jujur dan menyebabkan kerugian bagi pemiliknya.

Ketika hukuman dijatuhkan, pihak pengadilan percaya bahawa denda yang tinggi sudah cukup bagi tertuduh setelah mempertimbangkan kerjasama dan penyesalannya.