Denda $49,000 gara-gara rokok seludup

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Seorang lelaki diperintahkan oleh Mahkamah Majistret untuk membayar denda $49,000 setelah didapati bersalah selepas perbicaraan atas tuduhan memiliki rokok seludup.

Pemangku Ketua Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Abdul Rahman memutuskan hukuman denda terhadap Mohammad Norazmi bin Sungkai selepas berpuas hati dengan pendakwa raya yang berjaya membuktikan kes defendan melampaui keraguan munasabah.

Semasa perbicaraan, pihak pendakwa memanggil empat saksi terdiri daripada pegawai kastam untuk memberi keterangan manakala defendan memanggil dua saksi.

Gagal membayar denda, akan menyebabkannya dipenjara selama 15 bulan.

Terdahulu, defendan berdepan dakwaan memiliki 42 karton dan dua paket rokok tanpa cukai di dalam keretanya di kawasan Kampung Bebuloh sekitar jam 12:58 tengah malam pada 30 Ogos 2019.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Dr Mohammad Hussin Ali bin Idris.