Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Denda $50,000 jika sambung elektrik secara haram

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) menegaskan kepada orang ramai bahawa jabatan berkenaan amat memandang serius akan aktiviti penyambungan bekalan elektrik secara haram di kawasan perumahan dan premis perniagaan.

    Antara contoh aktiviti penyambungan bekalan elektrik secara haram dan tidak selamat termasuk aktiviti perlombongan bitcoin yang menghasilkan mata wang kripto.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh JPE, di sini, perbuatan berkenaan merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang di mana jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi $50,000 atau penjara tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

    Perbuatan penyambungan elektrik tanpa kebenaran itu lazimnya boleh membawa kepada penggunaan tenaga elektrik yang berlebihan dan tanpa had, yang mana boleh menggugat kesejahteraan dan keselamatan diri sendiri dan orang awam.

    JPE sentiasa mengalu-alukan dan menyokong perkembangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta aktiviti–aktiviti perindustrian yang mematuhi peraturan dan undang-undang di negara ini memandangkan PMKS dan industri–industri ini memberi sumbangan kepada perekonomian negara.

    Pihak JPE ingin menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang tambahan atau perubahan kepada pendawaian bangunan tanpa kebenaran Pengarah Perkhidmatan Elektrik serta menggunakan kontraktor yang berdaftar dengan pihak JPE bagi sebarang kerja melibatkan penyambungan, pemasangan dan pendawaian elektrik.

    Jabatan berkenaan turut menyatakan orang ramai yang ingin melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan bolehlah menghubungi Talian Darussalam 123, e-mel des.info@des.gov.bn atau dengan mengisi borang pertanyaan dan aduan, Bahagian Pengurusan Hasil yang boleh dimuat turun melalui laman sesawang JPE di www.des.gov.bn
    atau kepada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di talian 993.

    Gambar menunjukkan pendawaian yang tidak selamat dan papan agihan yang berada dalam keadaan terbuka. – Gambar serahan JPE
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...