LONDON, 19 MEI – Chelsea di landasan tepat untuk layak ke Liga Juara-Juara selepas meraih kemenangan penting 2-1 mengatasi pencabar empat tempat teratas, Leicester semalam.
Chelsea berjaya membalas dendam selepas kekalahan 1-0 pada final Piala FA Sabtu lalu ke atas Leicester untuk merampas kedudukan Foxes dalam pemburuan empat tempat teratas.
Penyokong telah dibenarkan kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu ini untuk pertama kalinya sejak Disember berikutan pelonggaran sekatan koronavirus di UK.
Kira-kira 8,000 peminat berada di Stadium Stamford Bridge ketika Chelsea melangkah ke tempat ketiga merampas kedudukan Leicester.
Skuad kendalian Thomas Tuchel memecah kebuntuan pada minit ke-47 apabila Antonio Rudiger menemui gawang hasil sepakan sudut.

Jorginho menggandakan kelebihan Chelsea menerusi penalti minit ke-66 selepas VAR mengesahkan Wesley Fofana mengasari Timo Werner.
Kelechi Iheanacho merapatkan kedudukan buat Leicester pada minit ke-76.
Namun Chelsea bertahan dan emosi berlebihan ditampilkan pada penamat saingan hingga mencetuskan pergaduhan antara pemain dan staf kejurulatihan kedua-dua pasukan.
Chelsea akan menjamin kedudukan ketiga liga jika mereka menewaskan Aston Villa dalam perlawanan terakhir musim ini Ahad nanti.
“Penyokong menghadirkan perbezaan besar. Kepantasan dalam permainan kami, keinginan untuk menang, cita-cita besar. Ia persembahan yang kuat,” kata Tuchel.
“Tugas masih belum selesai dan ia masih dalam genggaman kami. Kami perlukan satu lagi persembahan baik di Aston Villa.”
Selepas merangkul Piala FA buat pertama kali, pasukan tangga keempat Leicester boleh dinafikan kedudukan empat teratas pada hari terakhir buat musim kedua berturut-turut.
Skuad kendalian Brendan Rodgers kini tiga mata di depan pasukan kelima, Liverpool namun skuad Reds boleh berada di atas mereka menerusi perbezaan gol jika menang di Burnley.
Perlawanan akhir Leicester adalah di tempat lawan Tottenham, sementara Liverpool menjadi tuan rumah menentang Crystal Palace.
“Kami jelas kecewa. Kami bolosi dengan mudah dan tidak cukup baik. Keputusan penalti sangat tidak adil,” kata Rodgers.- AFP



































