Dendam City terbalas di Stamford Bridge

LONDON, 26 SEPT – Manchester City masih dahaga untuk bersaing dengan pencabarnya bagi mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris, menurut kenyataan Pep Guardiola selepas pasukannya menewaskan Chelsea 1-0 di Stamford Bridge sekali gus membalas dendam atas kekalahan mereka di Liga Juara-Juara musim lalu.

Percubaan Gabriel Jesus yang terlantun selepas lapan minit babak kedua bersambung berjaya mengukir kemenangan, namun City perlu mencatat kemenangan yang lebih meyakinkan selepas mereka meletakkan penanda aras berikutan kekalahan kepada Chelsea tiga kali berturut-turut menuju peng-hujung musim lalu.

Kekalahan yang paling menyakitkan adalah semasa beraksi di Porto di mana Chelsea berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara untuk menafikan City meraih kejuaraan sulung sejak pengambilalihan pemilik dari Abu Dhabi pada 2008.

Pasukan kendalian Thomas Tuchel memulakan musim ini dengan baik, tetapi City berjaya bangkit dari kekecewaan seri 0-0 di laman sendiri menentang Southampton pada hujung minggu lalu dan kini berkongsi mata dengan Chelsea dan Manchester United.

“Hari ini mereka bermain dengan luar biasa. Beraksi di stadium ini menentang lawan kami, melakukan tugasan yang perlu disiapkan membuatkan saya berbangga,” kata Guardiola, yang menjadi pengurus City paling banyak mencipta kemenangan dalam sejarah kelab dengan 221 kemenangan.

“Saya masih merasakan pemain-pemain kami bersedia untuk mencuba sekali lagi. Kemenangan ini memberikan kami kesedaran untuk berkata bahawa kami mampu melakukannya sekali lagi, kami masih di sini.” – AFP

Aksi penyerang City, Gabriel Jeses membuat percubaan untuk meletakkan pasukannya di hadapan semasa bertemu Chelsea di Stamford Bridge, semalam.- AFP