Sunday, December 15, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dendam dalam bayangan

    Oleh Elite90 –

    Tatkala hujan renyai-renyai membasahi jendela pejabatku malam itu, perasaan seram tiba-tiba menyelubungi aku. Setiap titisan air seolah-olah mengalunkan lagu hiba, membawa aku kembali ke kenangan lima tahun lalu – sebuah kisah gelap yang tak pernah aku ceritakan pada sesiapa. Kisah tentang dendam, sihir dan kuasa yang tak dapat dilihat dengan mata kasar.

    Ketika itu, aku baru sahaja dinaikkan pangkat. Pada mulanya, kehidupan nampak indah. Semua orang mengucapkan tahniah, senyuman dan pujian datang bertalu-talu.

    Aku sangka kejayaan ini adalah permulaan kepada perjalanan gemilang dalam kerjayaku.

    Namun, aku tak pernah sangka bahawa di balik semua itu, ada seseorang yang menaruh dendam terhadapku – Firdaus, rakan sekerja yang selama ini aku anggap teman baik.

    Aku masih ingat jelas wajahnya pada hari pengumuman kenaikan pangkat itu. Senyuman kecil yang dipaksa, pandangan yang kosong dan bibir yang bergetar sedikit, seolah-olah cuba menahan amarah. Aku tak mengendahkannya pada waktu itu, kerana aku percaya, semua akan baik-baik saja. Namun, ternyata sangkaanku meleset.

    Foto Canva

    KEGANJILAN AWAL

    Seminggu selepas aku mula menggalas jawatan baharu, pelbagai kejadian aneh mula berlaku.

    Pada awalnya, hanya gangguan kecil – barang-barang aku selalu hilang dari meja, dokumen yang aku susun rapi tiba-tiba berselerak keesokan harinya.

    Aku ingat mungkin ini kerja rakan-rakan sekerja yang nak bergurau. Tapi, bila gangguan semakin kerap berlaku, aku mula rasa tak sedap hati.

    “Firdaus, kau perasan kah, barang-barang aku macam selalu hilang saja? Atau aku yang lupa letak di mana?” Aku bertanya satu hari, ketika kami makan tengah hari bersama.

    Dia hanya mengangkat bahu, sambil menyuap nasi ke mulut. “Biasa tu, Amir. Mungkin kau penat banyak. Kerja pun makin banyak sekarang. Macam-macam hal orang baru naik pangkat, kan.”

    Aku senyum, tapi dalam hati ada rasa tak sedap. Senyumannya macam sinis, nada suaranya macam ada maksud lain. Tapi aku malas nak fikir lebih. Aku fikir mungkin ini cuma perasaan aku saja.

    Tapi malam-malam selepas tu, gangguan makin teruk. Aku sering terjaga di tengah malam dengan peluh dingin membasahi tubuh. Mimpi buruk datang silih berganti. Dalam mimpi tu, aku dikejar oleh bayangan hitam yang besar dan menyeramkan, yang sentiasa cuba menangkap aku.

    MISTERI YANG MAKIN MENDALAM

    Satu malam, lepas bekerja lebih masa di pejabat, aku terdengar sesuatu. Bunyi halus langkah kaki, tapi nyata. Aku berhenti menaip, dengar dengan teliti. Langkah tu semakin dekat. Aku toleh belakang, tapi tiada siapa pun.

    “Siapa di sana?” Aku bertanya dengan suara sedikit bergetar, cuba kawal ketakutan.

    Tiada jawapan. Aku bangun dari kerusi, berjalan ke pintu pejabat.

    Tiba-tiba lampu mula berkelip-kelip sebelum semuanya padam. suasana gelap gelita menyelubungi pejabat.

    Dalam kegelapan, aku lihat bayangan hitam yang besar bergerak ke arah aku. Jantung aku berdegup kencang.

    “Firdaus?!” Aku menjerit, dalam hati berharap ini cuma gurauan.

    Tapi bayangan tu makin besar, makin jelas, dan dalam sekelip mata, ia melompat ke arah aku. Aku tak tunggu lagi. Aku lari keluar dari pejabat, meninggalkan segala-galanya.

    Esoknya, Firdaus nampak tenang seperti biasa. Dia menegur aku dengan senyuman.

    “Kau nampak pucat, Amir. Apa jadi malam tadi?”

    Aku cuba kawal diri. “Tak ada apa-apa. Cuma… penat saja, kot.”

    Dia senyum lagi, senyum yang buat aku rasa lain macam. “Penat tu biasa, Amir. Tapi hati-hati… bila kita penat sangat, kadang-kadang kita boleh nampak benda yang bukan-bukan.”

    RAHSIA YANG TERBONGKAR

    Beberapa minggu lepas tu, aku dah tak tahan. Gangguan semakin teruk. Aku mula bertanya kepada rakan lama. Satu hari, seorang kawan lama, Azman, datang berjumpa aku di kafe berdekatan pejabat.

    “Amir, aku dengar Firdaus ada main benda-benda tak elok,” kata Azman dengan wajah serius.

    “Maksud kau apa ni, Azman?” Aku tercengang. “Apa kena-mengena Firdaus dengan semua ni?”

    Azman mengeluh panjang.

    “Aku dengar dia pergi jumpa bomoh, Amir. Nak buat sesuatu kat kau. Dendam pasal kenaikan pangkat kau,” ujarnya.

    Darah aku berderau.

    “Bomoh? Dia guna sihir? Kau serius ke ni?,” tanyaku kepada Azman.

    “Tak main-main, Amir. Aku dengar dari sumber yang boleh dipercayai. Sejak tu, aku rasa gangguan yang kau alami bukan kebetulan,” jawab Azman.

    Aku terdiam. Semua yang berlaku, mimpi buruk, bayangan hitam… semuanya mula masuk akal. Perasaan takut mula menyelubungi hati aku. Aku tak tahu nak buat apa.

    DENDAM DAN BALASAN

    Aku cuba elakkan Firdaus sebanyak mungkin. Setiap kali dia pandang aku, senyum sinisnya makin buat aku tak selesa. Tapi gangguan makin kerap.

    Aku dah tak boleh tidur malam. Bayangan hitam tu sentiasa ada, di rumah, di pejabat. Aku tak boleh teruskan begini.

    Akhirnya, aku buat keputusan berat – aku berhenti kerja.

    “Betul kau nak berhenti, Amir?” Firdaus tanya masa kami berbual terakhir kali. “Kerja bagus macam ni, kau tak sayang?”

    Aku pandang dia, mata aku tajam. “Ada benda yang lebih penting dari kerja, Firdaus. Aku tak perlu benda-benda yang kau buat ni.”

    “Kau cakap apa ni, Amir? Aku tak buat apa-apa pun,” Firdaus ketawa kecil.

    HARGA YANG PERLU DIBAYAR

    Setelah aku berhenti, aku berpindah ke bandar lain, cuba mulakan hidup baharu.

    Walaupun jauh dari pejabat tu, bayangan hitam tu masih menghantui malam-malam aku.

    Seolah-olah sihir tu tak akan lepaskan aku.

    Namun, tak lama lepas aku berhenti, aku dengar khabar yang Firdaus mula dihantui benda yang sama. Sihir yang dia guna untuk jatuhkan aku, kini berpatah balik kepadanya.

    Kawan-kawan beritahu Firdaus sudah mula hilang kewarasan, dan dia dihantar ke hospital jiwa.

    Hidupnya hancur, sama seperti dia cuba menghancurkan hidup aku. Aku hanya mampu senyum pahit.

    Apa yang dia tak sedar, kuasa gelap bukan sesuatu yang boleh dipermainkan. Satu langkah ke arah sihir, kau tak boleh undur.

    Firdaus kini menjadi mangsa kepada dendamnya sendiri.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda