Dendam PSG terbalas

PARIS, 14 ARPIL – Paris Saint-Germain berjaya menyingkirkan juara bertahan, Bayern Munich daripada Liga Juara-Juara walaupun Eric Maxim Choupo-Moting berhasil menemukan jaringan menentang bekas pasukannya di Parc des Princes semalam di suku akhir pusingan kedua.

Bagaimanapun, kemenangan 1-0 pada aksi suku akhir kedua itu gagal menyekat kemaraan pasukan gergasi Perancis itu mara ke separuh akhir menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan pada perlawanan pusingan pertama.

Percubaan Neymar dua kali terkena palang gol untuk PSG pada separuh masa pertama dan Choupo-Moting kemudiannya meletakkan Bayern di depan lima minit sebelum rehat.

Tetapi juara bertahan Eropah itu gagal menambah jaringan seterusnya yang amat diperlukan selepas tewas 2-3 di laman sendiri minggu lalu.

PSG berjaya membalas dendam kekalahan 0-1 pada final musim lalu di Lisbon dan impian mereka untuk menjuarai Piala Eropah pertama kembali hidup buat kelab yang pemiliknya dari Qatar itu.

Aksi penyerang PSG, Kylian Mbappe ketika mengawal bola di depan pemain pertahanan Bayern Munich, Benjamin Pavard semasa perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara PSG dan FC Bayern Munich semalam. – AFP

Skuad kendalian Mauricio Pochettino yang sebelum ini menyingkirkan Barcelona pada perlawanan 16 akhir kini boleh menumpukan aksi separuh akhir menentang Manchester City atau Borussia Dortmund.

“Saya sangat gembira walaupun tewas. Kami berdepan pasukan hebat, juara Eropah tetapi kami mara separuh akhir,’’ kata Neymar kepada RMC Sport.

“Kami pasukan sebenar. Paling pen-ting kami mara dan kini kami boleh mengimpikan sesuatu yang lebih besar.”

Bayern pula boleh menebus kekecewaan dengan berusaha meraih gelaran kesembilan berturut-turut Bundesliga.

Keputusan mungkin boleh berubah jika penyerang prolifik mereka Robert Lewandowski atau Serge Gnabry dapat beraksi pada kedua-dua perlawanan suku akhir tersebut.

Masa depan jurulatih Bayern, Hansi Flick juga akan kembali jadi tumpuan, kerana hubungannya yang dingin dengan pengarah sukan kelab itu, Hasan Salihamidzic. – AFP