Tuesday, April 16, 2024
25.4 C
Brunei

    -

    Denmark, Finland tarik balik coklat dicemari salmonela

    COPENHAGEN, 7 APRIL – Pihak berkuasa makanan di Denmark dan Finland berkata hari ini yang syarikat Itali, Ferrero telah menarik balik kumpulan produk coklat Kinder tertentu disebabkan kaitannya antara produk dan penularan salmonela.

    Ia adalah kes terbaharu daripada beberapa buah negara yang mengumumkan penarikan balik seumpamanya, termasuk Belgium, Perancis, Jerman, Ireland, Luxembourg, United Kingdom, Sweden dan Norway.

    Kelmarin, pegawai kesihatan Eropah berkata mereka sedang menyiasat penularan salmonela yang ‘berkembang pantas’ dalam seramai 134 kanak-kanak yang kelihatannya berkaitan dengan coklat telur Easter yang biasanya mengandungi alat permainan di dalamnya.

    Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah berkata produk coklat itu dikenal pasti ‘sebagai punca jangkitan’, menambah kanak-kanak terutamanya berusia bawah 10 tahun telah terkesan. Kes pertama dikesan di Britain pada Januari.

    Agensi Sekuriti Kesihatan Britain berkata ia telah mengenal pasti 63 kes salmonela berkaitan coklat bentuk telur itu dan kebanyakannya kanak-kanak bawah lima tahun.

    Gambar fail masing-masing bertarikh 27 Januari 2017 dan 18 November 2014 menunjukkan barisan coklat Kinder bueno di kilang Ferrero Perancis dan Kinder Eggs di gedung beli-belah Hanover, tengah Jerman. – AFP

    Salmonela biasanya menyebabkan simptom termasuk cirit birit, demam, perut kejang.

    Kebanyakan orang yang jatuh sakit tidak memerlukan sebarang ubat manakala kes-kes teruk yang memerlukan kemasukan ke hospital mungkin memerlukan rawatan lain dan antibiotik.

    “Kehadiran salmonela dalam coklat sangat kritikal, ketika kandungan tinggi lemak dalam coklat akan menjadi faktor perlindungan buat bakteria salmonela apabila ia memasuki asid perut,” kata Pentadbiran Veterinar dan Makanan Denmark dalam kenyataan.

    Ia ‘sangat kritikal apabila berkaitan dengan produk coklat yang dipasarkan terus kepada kanak-kanak’.

    Di Finland, Pihak Berkuasa Makanan berkata Ferrero Scandinavia AB telah menarik balik produk coklat Kinder yang dijual di negara Nordik itu atas alasan yang sama.

    “Kami secara sukarela menarik balik kumpulan tertentu Kinder Surprise sebagai langkah berjaga-jaga,” kata syarikat itu, memetik bahawa adanya ‘kemungkinan kaitan’ dengan kes salmonela dilaporkan. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bot karam di Kashmir India bunuh sekurang-kurangnya 4 orang

    SRINAGAR, 16 APRIL - Sebuah bot yang membawa sekumpulan orang terbalik di sungai di Kashmir yang dikuasai India pada hari ini, menenggelamkan empat daripada...