Denmark mara, Ireland akur tewas

DUBLIN, 19 NOV – Republik Ireland terlepas tiket kelayakan automatik ke Euro 2020 selepas terikat 1-1 bertemu Denmark yang turut mengesahkan kemaraan buat pelawat ke kejohanan berkenaan, tahun depan.

Switzerland turut menempah tiket ke Euro 2020 selepas meraih kemenangan besar 6-1 ke atas Gibraltar sekali gus menghuni tangga teratas Kumpulan A.

Ireland masih berpeluang untuk beraksi di Euro di gelanggang sendiri selepas Dublin menjadi salah satu daripada 12 bandar raya yang akan menganjurkan perlawanan tetapi terpaksa mengharungi dua aksi playoff pada Mac depan.

Jaringan pemain Denmark, Martin Braithwaite, 17 minit sebelum permainan berakhir menyaksikan tugas skuad kendalian Mick McCarthy makin sukar dan jaringan pertama Matt Doherty dalam saingan antarabangsa sudah terlalu lewat.

“Secara keseluruhan saya amat gembira dengan persembahan pemain dan amat berbangga dengan mereka, terutama selepas ketinggalan, untuk melonjakkan semula semangat mereka,” kata McCarthy. “Bermain seperti ini ketika playoff, kami boleh menewaskan sesiapa saja.” Beraksi di gelanggang sendiri, Ireland cuba untuk membalas dendam kekalahan 5-1 kepada Denmark dua tahun lalu yang membawa pasukan itu ke Piala Dunia 2018.

Begitupun, daripada enam pertemuan di antara kedua-dua pasukan itu sejak dua tahun lalu, Ireland hanya meledak tiga gol dan ketumpulan jentera serangan sekali lagi menghampakan mereka.

“Kamu perlu menjaringkan gol untuk memenangi perlawanan dan kami tidak cukup menjaringkan gol,” kata Doherty.

“Ia kumpulan yang sukar, kami mengharunginya dan kami perlu memastikan yang kami cukup bersedia pada Mac.” – AFP

Braithwaite meluru ke arah penyokongnya bagi meraikan jaringan selepas mencetak gol pada perlawanan menentang Ireland di Stadium Aviva, Dublin, kelmarin. – AFP