Denmark sah ke Piala Dunia

COPENHAGEN, 13 OKT – Denmark mengesahkan tempat mereka di Piala Dunia tahun depan setelah berjaya menundukkan Austria 1-0 di Copenhagen, semalam.

Kemenangan tersebut terhasil selepas Joakim Maehle berjaya men-jaringkan gol pada separuh masa kedua di Stadium Parken untuk mengekalkan pasukan Demnark tujuh mata di hadapan Scotland, yang turut mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Faroe Islands, dengan berbaki dua pusingan perlawanan.

“Ia sangat bermakna bagi kami,” Maehle memberitahu televisyen Denmark. “Salah satu malam paling dikenang di Parken sejak sekian lama. Sangat luar biasa.

“Ia bukan perkara paling indah dalam bola sepak hari ini, tetapi kedua-dua pasukan bermain dengan baik. Perkara paling penting ialah kami meraih kemenangan dan tiket untuk beraksi di Piala Dunia.”

Denmark mara ke pusingan separuh akhir Euro 2020 Julai lalu, sebelum dijinakkan oleh England pada masa tambahan. Sejak itu mereka mencatat kesemua empat kemenangan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia mereka.

Peminat pasukan tuan rumah memberikan sokongan padu dan Denmark memulakan serangan sejak awal perlawanan.

Austria, yang longlai disebabkan kecederaan dan sebelum ini dibelasah 4-0 ketika kedua-dua pasukan bertemu di Vienna pada Mac lalu, selesa bermain secara bertahan dan cuba melakukan serangan melalui serangan balas.

Denmark mendominasi perlawanan pada separuh masa pertama namun penjaga gol Austria, Daniel Bachmann mempamerkan aksi menyelamat untuk menggagalkan percubaan Andreas Skov Olsen dan Mikkel Damsgaard.

Pasukan tuan rumah berjaya memecah kebuntuan pada awal minit separuh masa kedua. – AFP

Aksi Bachmann cuba menghalang percubaan Delaney ketika saingan kelayakan Piala Dunia di Copenhagen, semalam. – AP