Denmark tambah derita Rusia

COPENHAGEN, 22 JUN – Denmark mara ke pusingan 16 terbaik Euro 2020 selepas menundukkan Rusia 4-1, selain harus berterima kasih kepada kemenangan Belgium ke atas Finland yang membolehkan mereka menamatkan saingan Kumpulan B di tempat kedua.

Jaringan Mikkel Damsgaard, Yussuf Poulsen, Andreas Christensen dan Joakim Maehle memberikan Denmark kemenangan pertama dalam kempen kali ini di Stadium Parken.

Penyokong Denmark menyambut kemenangan dengan penuh gembira selepas menempuh detik sukar pada perlawanan pembukaan yang penuh trauma, menyaksikan Christian Eriksen rebah di tengah padang.

Denmark selepas ini dijadual bertemu Wales dalam saingan 16 terbaik di Amsterdam, Ahad ini.

Mikkel Damsgaard memuji rakan sepasukan Denmark selepas melalui perjalanan berliku di awal kejohanan.

Pemain sayap Sampdoria itu membuka jaringan perlawanan pada lewat babak pertama di Stadium Parken, selepas Denmark menjamin keputusan mereka, selain harus berterima kasih kepada kemenangan Belgium ke atas Finland yang membenarkan barisan kendalian Kasper Hjulmand itu menamatkan saingan Kumpulan B di tangga kedua.

“Ia sesuatu yang agak gila apabila kami mara. Pasukan itu dan pemain ini (Denmark).

“Ia sesuatu yang sangat menarik untuk menjadi sebahagian daripada pasukan ini, sungguh menakjubkan apabila semua orang gembira,” kata Damsgaard.

Pemain berusia 20 tahun itu dipilih menyertai skuad untuk mencipta gerakan menarik buat Denmark dengan ketiadaan Christian Eriksen.

“Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi sebahagian daripada perlawanan besar seperti ini, jadi ia satu perasaan yang menakjubkan,” katanya. – AFP

Reaksi Damsgaard (tengah) ketika meraikan jaringan selepas mencetak gol pembukaan menentang Rusia di Stadium Parken, Copenhagen, awal pagi kelmarin. – AP