Denmark tangguh penerbangan UAE

COPENHAGEN, 22 JAN – Denmark menangguhkan penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) selama lima hari selepas mengesyaki bahawa ujian dan pemeriksaan virus tidak cukup ketat, kata menteri pengangkutan negara Nordik itu,hari ini.

Semua penumpang udara yang tiba di Denmark perlu menunjukkan ujian virus negatif yang diambil dalam tempoh 24 jam sebelumnya, tetapi Menteri Pengangkutan Benny Engelbrecht mengatakan pihak berkuasa Denmark ingin memastikan tidak berlaku sebarang salah laku dalam ujian tersebut di Dubai.

“Semua penerbangan komersial dari UAE dibatalkan selama lima hari,” katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa ia akan memberi masa kepada pegawai untuk memastikan bahawa ujian negatif yang diperlukan adalah penyaringan sebenar yang telah dilakukan dengan betul.

Larangan penerbangan itu berkuat kuasa mulai hari ini hingga Rabu, dan pada masa itu Denmark tidak akan menerima ujian negatif dari UAE.

Walaupun destinasi pelancongan lain meningkatkan sekatan ketat mereka untuk mengawal krisis kesihatan, bagaimanapun Dubai terus membuka pintu sempadan mereka.

Perdana Menteri Mette Frederiksen mengeluarkan teguran minggu ini selepas beberapa selebriti Denmark mengunjungi Dubai.

“Apa yang berlaku ketika melakukan perjalanan pada masa ini adalah anda mengambil risiko membawa mutasi ke Denmark, yang sekali gus akan melemahkan sistem kami untuk mengawal penularan pandemik,” tambahnya lagi.

Denmark mengenakan sekatan ketat pada akhir Disember untuk mengatasi lonjakan kes, dan para pegawai melahirkan kebimbangan terhadap varian baharu yang akan menular secara pantas.

Sebanyak 283 kes varian Britain telah disahkan bersama dengan satu kes varian Afrika Selatan, yang melibatkan seorang individu yang pernah menetap di Dubai. – AFP