Denmark tarik semua sekatan COVID-19

COPENHAGEN, 27 OGOS – Denmark akan menarik semua sekatan COVID-19 menjelang 10 September, kata pegawai kesihatan hari ini, mengatakan virus itu tidak lagi menimbulkan ‘ancaman kepada masyarakat’ kerana pelaksanaan vaksinasi secara meluas di negara itu.

Lebih daripada 70 peratus penduduk Denmark telah menerima vaksin sepenuhnya.

“Wabak ini terkawal, kami memiliki kadar vaksinasi yang tinggi. Itulah sebabnya, pada 10 September, kami dapat melonggarkan peraturan yang dilaksanakan dalam memerangi COVID-19,” kata Menteri Kesihatan, Magnus Heunicke.

Namun, dia menekankan bahawa ‘wabak itu belum berakhir’ dan mengatakan kerajaan tidak akan teragak-agak untuk bertindak segera sekiranya wabak itu sekali lagi mengancam masyarakat.

Denmark adalah salah sebuah negara pertama yang memperkenalkan perintah berkurung pada bulan Mac 2020, menutup sekolah dan perniagaan serta perkhidmatan kurang penting. Sebelum itu pada bulan April Denmark telah memperkenalkan ‘pasport korona’ yang memberi akses untuk masuk ke restoran, pawagam, gimnasium dan salon rambut. – AFP