Depot peluru Jordan meletup

AMMAN, 11 SEPT – Satu letupan besar menggegarkan depot peluru tentera awal hari ini mencetuskan kebakaran besar, tetapi pihak tentera berkata tiada korban jiwa dicatatkan di kawasan pangkalan yang tidak berpenghuni.

Pihak tentera berkata letupan adalah satu kemalangan dan besar kemungkinan berlaku disebabkan oleh tindak balas kimia di dalam depot peluru di tengah-tengah cuaca panas di negara gurun tersebut.

“Satu letupan berlaku pada awal pagi hari ini di dalam sebuah depot yang mengandungi bom mortar yang tidak digunakan kepunyaan pihak tentera,” menurut jurucakap kerajaan, Amjad al-Adaileh dalam kenyataan.

Letupan berlaku di bandar Zarqa, 25 kilometer dari timur bandar Amman, di mana beberapa buah pangkalan dan depot tentera Jordan dibina.

Imej yang tersebar pantas di media sosial menunjukkan bebola api yang besar di angkasa diikuti dengan beberapa letupan. – AFP