‘Derma Darah, Amal Jariah’

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Dengan hasrat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peri mustahaknya menderma darah untuk menyelamatkan nyawa para pesakit yang memerlukan pemindahan darah tanpa mengharapkan sebarang imbalan, Sekolah Rendah Perpindahan Lambak Kanan Jalan 10 buat julung kalinya, menganjurkan Kempen Derma Darah sempena Sambutan Hari Guru 2019 yang berlangsung di perpustakaan sekolah berkenaan, hari ini.

Kempen bertemakan ‘Derma Darah, Amal Jariah’ itu dianjurkan oleh sekolah berkenaan dan ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dengan kolaborasi Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Ia dibukakan kepada orang ramai, guru-guru dan kakitangan warga sekolah, ibu bapa serta penjaga murid.

Semasa kempen berkenaan, seramai 74 orang mendaftar untuk menderma darah dan daripada jumlah berkenaan seramai 61 orang menderma darah setelah melalui peme-riksaan kesihatan secara pra-saringan yang dijalankan oleh pegawai perubatan bagi memastikan penderma darah berada dalam keadaan sihat serta layak untuk menderma darah.

Kempen itu juga diharap akan memberikan kesedaran kepada wara sekolah dan masyarakat bahawa menderma darah merupakan satu amalan mulia, di samping dapat memberikan pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menderma darah dan membantu pihak Hospital RIPAS untuk mendapatkan lebih ramai penderma darah serta membantu menambah tabung darah.

Dengan kejayaan program berkenaan, ia diharapkan akan menjadi satu budaya dalam memberikan khidmat masyarakat.

Antara mereka yang menderma darah semasa Kempen Derma Darah sempena Sambutan Hari Guru 2019. – Gambar serahan Sekolah Rendah Perpindahan Lambak Kanan Jalan 10