Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Derma darah dengan ikhlas

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Salah satu usaha yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan dalam mengatasi dan mengelakkan masalah kekurangan bekalan darah di negara ini ialah dengan menambah promosi untuk kegiatan pendermaan darah di mana Kementerian Kesihatan memperbanyakkan kolaborasi dengan institusi-institusi, jabatan-jabatan kerajaan serta pihak swasta.

    Perkara tersebut diterangkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN), hari ini susulan daripada pertanyaan-pertanyaan yang diajukan oleh ahli MMN, Yang Berhormat Awang Mohd Salleh bin Haji Othman mengenai perancangan dan usaha-usaha pihak kerajaan dalam memberi galakkan kepada orang ramai bagi menderma darah.

    Berkenaan pemberian insentif-insentif yang bersesuaian agar usaha menderma darah menjadi lebih berkesan, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa menderma darah merupakan suatu hasrat yang murni yang melibatkan ketersediaan seseorang itu untuk menolong orang.

    “Sebelum ini pelbagai insentif telah diberikan namun apabila dilihat kembali, ia adalah tidak bersesuaian kerana kita tidak ingin menjadikannya sebagai komersil meskipun ganjaran itu adalah agak besar,” tambahnya.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menambah bahawa jika dilihat kembali, perkara-perkara seumpama ini juga tidak berlaku di negara jiran kerana apa yang penting adalah keikhlasan seseorang itu dalam mendermakan darah mereka di mana seorang penderma itu boleh membantu sehingga tiga orang.

    Apa yang perlu kita lakukan pada masa ini jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi ialah bagi memberigakan kepentingan menderma darah dan bagaimana ia boleh menolong orang.

    “Kita mahukan agar orang ramai lebih peka dan berhati mulia dengan keikhlasan menderma tanpa menunggu dan mengharap insentif-insentif untuk menderma,” tekannya.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...