‘Derma RM1 pun cukup’

Memanfaatkan laman sosial, Izzue Islam bekerjasama dengan Datuk Fizz Fairuz mengutip derma untuk disalurkan kepada petugas barisan hadapan dan insan memerlukan.

Izzue memberitahu, kutipan dibuat menerusi sesi siaran langsung di Instagram (IG) atas nama Tabung Fizzue Care X Fam Night.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, saya rajin buat sesi ‘live’ di IG. Jadi, apabila setiap malam saya bersiaran dengan Fizz, tercetus idea untuk melakukan sesuatu bermanfaat. Tak mahu sekadar berborak kosong, kami wujudkan tabung Fizzue Care X Fam Night.

“Tabung ini baru ditubuhkan, Jumaat lalu. Alhamdulillah, ia mendapat maklum balas positif daripada pengikut,” katanya.

Izzue berkata, dia dan Fizz mengutip derma setiap malam pada sesi ‘live’.

Inisiafit menubuhkan dana untuk petugas barisan hadapan dan golongan memerlukan, Izzue menggalakkan orang ramai menderma mengikut kemampuan. – Agensi

“Kami tidak tetapkan jumlah sumbangan, terpulanglah berapa banyak. RM1 pun boleh kerana kita boleh beli sebotol air mineral.

“Seperti dikongsi Ashraf Muslim, hospital yang merawatnya sekarang memerlukan air mineral. Setiap kali ‘live’, kami ditonton antara 700 sehingga 1,000 pengikut. Kalau seorang derma RM1, berapa banyak botol air mineral boleh diberi,” katanya.

Tambah Izzue, biarpun berkurung di rumah, semua orang boleh membantu negara dan mereka yang memerlukan.

Sebagai tanda penghargaan, Izzue dan Fizz menghadiahkan skrub badan dan cecair pembasmi kuman bagi individu yang menderma lebih RM50.

Selain itu, Izzue dan Fizz menjadikan interaksi itu sebagai platform untuk pengikut mempromosikan perniagaan dan perkhidmatan mereka.

“Kami saling mempromosikan barangan atau makanan yang dijual pengikut. Malah, ada antara mereka adalah penghantar barang dan kami bantu promosi perkhidmatan mereka,” katanya.

Ditanya bagaimana mendapat idea untuk melancarkan tabung berkenaan, Izzue berkata, pengikut memberi maklum balas dan cadangan untuk menjadikan interaksi itu lebih bermakna.

“Setiap malam, dari jam 12 tengah malam sehingga 3 pagi, saya buat ‘live’. Tapi saya tidak berseorangan, sebaliknya ditemani artis seperti Fizz, Achey dan Ashraf.

“Pada awalnya, saya tidak merancang untuk ‘live’ setiap malam, tapi selepas melihat maklum balas positif, saya teruskan,” katanya.

Izzue berkata, setakat ini, belum ada pengikut yang memberi reaksi negatif atas usaha diambil.

“Itu yang membuatkan saya lebih bersemangat,” katanya yang gembira dapat berkongsi semangat positif bersama pengikut di atas talian. – Agensi