Dermalah peralatan komputer

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Bagi menyokong inisiatif pembelajaran dalam talian, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Info-Komunikasi dan Kementerian Pendidikan menjalankan kempen derma peralatan komputer untuk menyokong pembelajaran dalam talian (online learning) bagi penuntut-penuntut sekolah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AITI, di sini, Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan pembelajaran dalam talian (online) bagi semua pelajar sekolah-sekolah rendah dan menengah serta penuntut di institut-institut pengajian tinggi seluruh negara sejak 30 Mac lalu.

Seperti yang diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan pada sidang media COVID-19 pada 9 April lalu, pembelajaran dalam talian akan dilanjutkan sehingga 14 Mei dan menurut Kementerian Pendidikan, terdapat kira-kira 52,000 orang pelajar yang sedang menuntut di sekolah-sekolah rendah, menengah dan pusat tingkatan enam kerajaan di seluruh negara.

Sehubungan dengan itu, bagi menyokong inisiatif pembelajaran dalam talian berkenaan serta membantu para pelajar yang memerlukan peralatan ICT, orang ramai, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dialu-alukan untuk sama-sama menderma komputer, komputer riba dan tablet, sama ada baharu atau terpakai, supaya dapat memberi peluang pembelajaran yang sama dan berterusan kepada semua pelajar.

Dua buah tempat penerimaan derma peralatan ICT telah dikenal pasti di mana bagi Daerah Brunei dan Muara, peralatan berkenaan boleh dihantar ke Blok A, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Saiful Rijal, Jalan Muara manakala bagi Daerah Belait, penerimaan derma akan diadakan di IBTE Kampus Jefri Bolkiah, Kuala Belait.

Peralatan komputer amat diperlukan untuk pembelajaran online, sehubungan itu AITI menyeru orang ramai untuk menderma peralatan komputer bagi menyokong inisiatif itu. –Gambar oleh Muiz Matdani

Pendermaan peralatan ICT bermula esok hingga 14 Mei dari pukul 8:30 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 4 petang, kecuali Jumaat, Ahad dan hari kelepasan awam.
Manakala itu, pada bulan Ramadan, waktu untuk menerima derma adalah dari pukul 8:30 pagi hingga 1:30 petang.

Kenyataan menjelaskan lagi bahawa pihak AITI akan menjalankan pemeriksaan ke atas peralatan-peralatan komputer yang disumbangkan bagi memastikan ia memenuhi spesifikasi minima yang diperlukan.

Peralatan yang didermakan akan diperbaharui melalui proses diagnosis sistem, format semula dan pemasangan aplikasi tertentu bagi tujuan pembelajaran dalam talian.

Proses itu akan dikendalikan pelatih-pelatih kerja ICT yang terdiri daripada graduan-graduan yang mencari pekerjaan dan mempunyai kelayakan HNTec dan Diploma dalam bidang yang berkaitan dengan ICT serta memiliki kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk melaksanakan tugas-tugas tersebut.

Peralatan yang telah diperbaharui akan diedarkan dengan bantuan pihak Kementerian Pendidikan.

Bagi menyokong para pelajar dengan pembelajaran dalam talian, spesifikasi minima peralatan ICT yang dimaksudkan adalah bagi lomputer dan komputer riba, ia mempunyai pemproses 2.0GHz, memori 4GB RAM, cekera keras 250GB, sistem operasi Win 10 / 8.1, memori grafik sekurang-kurangnya 128MB, rangkaian Wireless Connectivity dan mempunyai papan kekunci, kamera terbina dalam, alat pembesar suara dan mikrofon yang berfungsi dengan baik.

Sementara itu bagi tablet, ia mempunyai sistem operasi Android 5.0 dan ke atas atau iOS 11 dan ke atas.

Kenyataan menerangkan lanjut bahawa dengan adanya peralatan ICT itu nanti, para pelajar akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada pembelajaran dalam talian.

Dalam pada itu, inisiatif juga dapat mendedahkan para pelatih kepada pengalaman bekerja dan memperoleh kemahiran yang boleh dipasarkan (marketable).

Kejayaan kempen derma itu hanya akan dapat dicapai melalui pendekatan seluruh negara dengan sokongan padu daripada para pelajar, ibu bapa, kementerian-kementerian, akademia, sektor swasta, NGO dan orang ramai.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 736 2955, 741 0106, 741 0107 atau 741 0108 (pada waktu bekerja sahaja) atau e-mel kepada [email protected]