Deruan Adrenalin cetus semangat penggiat MTB

Oleh Nurdiyanah R.

Gambar oleh Muiz Matdani

Meredah kawasan berliku, berbukit, berbatu, curam sehinggalah ke kawasan berlumpur, bagaikan irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan dalam diri dan jiwa insan-insan yang meminati sukan basikal bukit atau mountain bike (MTB).

Memang lumrah dalam berbasikal, kelajuan menjadi elemen penting. Namun dalam sukan ekstrem ini, kelajuan sahaja tidak mencukupi jika diri sendiri tidak cukup kental untuk meredah laluan yang mencabar. Atas dasar cinta terhadap sukan ekstrem ini, mereka bersatu menerokai aksi-aksi lasak sebagai hobi untuk mengisi masa lapang.

“Apa yang pasti, usia bukanlah penghalang untuk kita melakukan aktiviti lasak ini. Demi kecintaan terhadap aktiviti ini, kami bersatu mengorak langkah dengan berbekalkan keyakinan dan semangat juang yang tinggi untuk sama-sama menerokai bukit-bukau yang memiliki jalan berliku-liku. Itulah prinsip yang sentiasa bersemadi dalam nadi kami,” itulah antara kata-kata semangat yang terucap daripada salah seorang peminat tegar MTB di negara ini, Awang Amir Jamin yang juga selaku pengasas salah sebuah kumpulan sukan lasak MTB di negara ini yang lebih dikenali sebagai Brunei MTB Community semasa ditemui penulis dan rakan-rakan Media Permata di salah sebuah trek MTB yang terletak di sekitar Daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini.

Bukan MTB jika tiada cabaran

Meski titisan peluh yang membasahi diri dengan panas terik menyinari bumi, namun semangat ahli-ahli kumpulan penggemar sukan berbasikal ekstrem ini jelas terpancar pada wajah-wajah mereka. Pastinya deruan adrenalin itulah pencetus semangat jiwa raga mereka dalam satu matlamat untuk merentasi jalan penuh berliku-liku.

Sebuah kumpulan berjiwa sukan lasak ini sudah lama ditubuhkan namun hanya mula bergiat aktif sekitar tahun 2015 telah menghimpunkan lebih 200 orang ahli secara keseluruhannya.

Aksi salah seorang ahli ketika melakukan sukan MTB.
Meredah kawasan berliku, berbukit, berbatu, curam sehinggalah ke kawasan berlumpur tidak dapat dipisahkan dalam diri dan jiwa penggemar sukan MTB.
Salah seorang penggiat sukan tersebut ketika melakukan aksi meredah halangan.
Awang Amir Jamin selaku pengasas salah sebuah kumpulan sukan lasak MTB di negara ini yang lebih dikenali sebagai Brunei MTB Community.

Bukan hanya terdiri daripada peminat MTB dalam golongan lelaki dewasa bahkan sebahagian mereka juga daripada kalangan wanita dan juga kanak-kanak.

Berkongsi hobi yang sama, mereka bersatu menggenggam satu ikatan persahabatan ini sememangnya bertujuan untuk menggalakkan dan membuka minda masyarakat dan orang ramai agar sentiasa mengamalkan cara hidup yang sihat umpamanya melibatkan diri dengan kegiatan sukan secara berterusan selain mempromosikan cara hidup sihat melalui sukan berbasikal dan aktiviti ini juga menjadi salah satu senaman alternatif selain daripada berjoging, senamrobik dan sebagainya.

Ujar Awang Amir, kebanyakan mereka menganggap aktiviti lasak ini sebagai hobi atau paling tidak dijadikannya aktiviti riadah bersama rakan-rakan seperjuangan.

Apabila menunggang basikal dengan menempuhi permukaan bumi yang kasar ditambah lagi mendaki dan menuruni bukit curam dengan kelajuan maksimum sekitar selekoh, itulah detik-detik keseronokan yang sukar diterjemah dengan kata-kata.

“Memang cukup menguji kemampuan diri kami. Bagi yang tidak biasa, cabaran memang terasa berat tetapi sesuai dengan namanya sebagai basikal lasak, maka bukanlah dinamakan MTB jika tiada cabaran,” tambahnya yang sudah berkecimpung dengan sukan MTB sekitar lima tahun dengan senyuman kepuasan.

Kuasai climbing, downhill dan jump gap sebaiknya

Di samping itu, Awang Amir yang juga pernah mengikuti pertandingan secara persendirian di beberapa negara ASEAN dan juga Eropah ini turut menjelaskan adapun dalam aktiviti ekstrem sebegini ia tergantung kepada kemampuan dan kebolehan masing-masing dalam menguasai teknik dan trik tersendiri.

Namun apa yang pasti untuk menguasai atau mendalami aktiviti sukan basikal lasak ini, seseorang itu mestilah memiliki kemahiran yang mantap dalam teknik-teknik tertentu seperti climbing, downhill, jump gap dan sebagainya, di samping mestilah mengetahui cara penunggang basikal yang betul serta menitik beratkan keselamatan diri dan persekitaran.

Semangat tidak pernah pudar

Sementara itu, salah seorang ahli kumpulan yang pernah mewakili negara dalam sukan berbasikal lasak di Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 2018, Awang Muhammad Al-Qayyum bin Haji Aini turut menjelaskan bahawa beliau berjinak-jinak dalam sukan berbasikal termasuk jenis MTB ini sejak lapan tahun lalu yang mana stamina adalah salah satu perkara yang terpenting baginya dalam setiap misi perlumbaan.

1“Sukan sebegini bukan sahaja menguji kecergasan fizikal bahkan ia juga turut memerlukan kekuatan mental kerana pemain perlu menyusun strategi dalam menempuhi cabaran laluan lasak yang berbukit. Apa yang penting, penunggang mestilah sentiasa melakukan latihan berterusan untuk mendapatkan kombinasi yang betul terutama dalam menggabungkan kekuatan, ketahanan dan kemahiran.

“Walaupun pernah mengalami kecederaan, namun ia sedikit pun tidak pernah mematahkan semangat saya untuk meneruskan impian dan cita-cita saya dalam menceburi bidang sukan lasak sebegini,” ucapnya yang kini berusia 20 tahun dengan penuh semangat.

Mendidik sentiasa positif

Sehubungan dengan itu, Awang Amir juga menambah bahawa daripada aktiviti sebeginilah, ia mampu mendidik para peserta akan sifat sabar dan juga menguji semangat setia kawan dalam mengharungi apa jua keadaan demi mencapai matlamat misi perlumbaan, di samping mengeratkan ikatan silaturahim sesama para penggemar sukan lasak di negara ini.

“Bagi sesiapa yang ingin menyertai kami, inilah peluang untuk mencari pengalaman. Kami sebenarnya seperti satu keluarga hanya kerana mempunyai minat yang sama. Itulah kelebihannya, bukan sekadar untuk menjaga kesihatan dan riadah.

“Bukan hanya untuk meraih kepuasan semata-mata bahkan hakikatnya aktiviti ekstrem ini juga mampu mencetuskan ketenangan jiwa dan minda seseorang apabila menyaksikan keindahan alam semula jadi penuh kehijauan.” jelasnya lagi insan berusia 44 tahun yang turut berharap untuk menyaksikan lebih ramai penglibatan masyarakat lebih-lebih lagi generasi muda tempatan yang memiliki bakat dalam sukan ekstrem ini sehingga mampu mewakili negara ke persada antarabangsa.

“Sukan sebegini bukan sahaja menguji kecergasan fizikal bahkan ia juga turut memerlukan kekuatan mental kerana pemain perlu menyusun strategi dalam menempuhi cabaran laluan lasak yang berbukit.

Apa yang penting, penunggang mestilah sentiasa melakukan latihan berterusan untuk mendapatkan kombinasi yang betul terutama dalam menggabungkan kekuatan, ketahanan dan kemahiran.

“Walaupun pernah mengalami kecederaan, namun ia sedikit pun tidak pernah mematahkan semangat saya untuk meneruskan impian dan cita-cita saya dalam menceburi bidang sukan lasak sebegini,” ucapnya yang kini berusia 20 tahun dengan penuh semangat.

Mendidik sentiasa positif

Sehubungan dengan itu, Awang Amir juga menambah bahawa daripada aktiviti sebeginilah, ia mampu mendidik para peserta akan sifat sabar dan juga menguji semangat setia kawan dalam mengharungi apa jua keadaan demi mencapai matlamat misi perlumbaan, di samping mengeratkan ikatan silaturahim sesama para penggemar sukan lasak di negara ini. “Bagi sesiapa yang ingin menyertai kami, inilah peluang untuk mencari pengalaman.

Kami sebenarnya seperti satu keluarga hanya kerana mempunyai minat yang sama. Itulah kelebihannya, bukan sekadar untuk menjaga kesihatan dan riadah.

“Bukan hanya untuk meraih kepuasan semata-mata bahkan hakikatnya aktiviti ekstrem ini juga mampu mencetuskan ketenangan jiwa dan minda seseorang apabila menyaksikan keindahan alam semula jadi penuh kehijauan,” jelas insan berusia 44 tahun ini, yang turut berharap untuk menyaksikan lebih ramai penglibatan masyarakat lebih-lebih lagi generasi muda tempatan yang memiliki bakat dalam sukan ekstrem ini sehingga mampu mewakili negara ke persada antarabangsa.