Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Desa Klamath kini tinggal abu

    KLAMATH RIVER, CALIFORNIA – Seminggu yang lalu, perkampungan desa di Sungai Klamath yang dihuni oleh sekitar 200 penduduk, mempunyai sebuah pusat kemasyarakatan, pejabat pos dan sebuah kedai runcit.

    Kini, selepas kebakaran melanda hingga ke rantau berhutan dekat sempadan negeri Oregon, empat orang telah terkorban dan kedainya antara beberapa bangunan yang terselamat.

    Salah seorang penduduk, Bill Simms, yang kini berada di pusat pemindahan berkata tiga daripada empat mangsa adalah jirannya. Dua daripadanya adalah pasangan suami isteri yang tinggal di hujung jalan.

    “Saya tidak bersedih dengan barangan dan material yang terbakar, namun apabila mengetahui jiran saya maut disebabkan bencana ini, membuatkan hati saya luluh,” katanya.

    Pesara berumur 65 tahun itu telah membeli hartanah di Sungai Klamath enam tahun lalu sebagai rumah kedua yang mempunyai akses kepada aktiviti memburu dan memancing. Simms berkata kawasan perkampungan Sungai Klamath menjadi tarikan orang ramai yang inginkan privasi dan menikmati keindahan alam.

    Pihak penyelamat ketika membawa mangsa kebakaran hutan McKinney di Hutan Negara Klamath. – AP
    Seorang penduduk setempat ketika melintasi kawasan ranap dalam kebakaran hutan. – AP
    Gambar yang dikeluarkan oleh Pejabat Syerif Daerah Siskiyou yang menunjukkan trak yang hanyut ketika membantu anggota bomba memadam kebakaran hutan. – AP
    Pihak berkuasa ketika meninggalkan lokasi kejadian di mana mangsa kebakaran hutan ditemui. – AP

    Bill Simms sempat mengunjungi ke kediamannya untuk melihat keadaan rumahnya namun mendapati semuanya musnah dijilat api.

    “Rumah, bilik tetamu dan kereta RV semuanya telah tiada. Sungai Klamath kini menjadi tanah terbiar dan musnah,” katanya. Beliau juga menemui bangkai kucing peliharaannya dan kemudian menguburnya, sementara seekor lagi kucingnya masih hilang. Simms sempat membawa dua ekor anjing peliharan bersamanya ke pusat pemindahan.

    Kebakaran hutan di McKinney, California, berlaku Jumaat lalu dan masih belum terkawal walaupun usaha pemadaman kebakaran tersebut giat dijalankan oleh pihak bomba yang dibantu oleh fenomena hujan ribut dan suhu cuaca lebih rendah.

    Walaubagaimanapun, hujab lebat turut menyebabkan paras air anak sungai dan naik dan banjir lalu menghanyutkan sebuah trak milik syarikat yang membantu pihak bomba, kata jurucakap Pejabat Syerif Daerah Siskiyou, Courtney Kreider. Pemandu trak tersebut kini menerima rawatan di sebuah hospital dan tidak mengalami kecederaan parah.

    Lebih 100 buah bangunan terdiri daripada perumahan dan bangsal telah ranap. Sementara itu, usaha mengenal pasti penduduk yang maut mungkin mengambil masa beberapa hari, ulas Kreider.

    Kebakaran itu telah menyebabkan hampir 223 kilometer persegi kawasan hangus, menjadikan kebakaran itu sebagai yang terbesar tahun ini. Punca kebakaran masih tidak diketahui.

    Dengan cuaca hujan yang turun dan suhu sejuk, kebakaran hutan tidak dijangka akan merebak dengan cepat.

    Sementara itu, pegawai bomba berkata pihaknya menggunakan jentolak untuk membuat laluan bagi mencegah api daripada merebak ke kawasan rumah-rumah dan bangunan sekitar Yreka yang mempunyai kira-kira 7,800 penduduk dan bandar terbesar di Daerah Siskiyou.

    Beberapa perintah pemindahan telah dikeluarkan bagi penduduk Yreka dan Hawkinsville, namun arahan itu ditukar kepada amaran waspada yang membolehkan penduduk setempat pulang ke rumah mereka.

    Namun, pihak berkuasa memberi amaran kebakaran masih mendatangkan ancaman dan penduduk perlu bersiap-sedia untuk berpindah jika perlu.

    Pada Rabu, awan kelihatan cerah dan suhu panas dianggarkan sederhana ke panas, menyebabkan tanah kering-kontang.

    California dan kebanyakkan negara Barat kini dalam fenomena cuaca kemarau dan kejadian kebakaran hutan mudah berlaku. Misalnya, kebakaran hutan yang berlaku di Montana, Idoha dan Nebraska telah memusnahkan rumah-rumah dan mengancam masyarakat setempat.

    Pakar saintis berkata perubahan iklim telah menyebabkan cuaca di negara Barat lebih panas dan kering sejak tiga dekad kebelakangan dan keadaan akan jadi lebih teruk serta kejadian kebakaran hutan sering berlaku.

    California telah menyaksikan kebakaran hutan paling maut dan memusnahkan, lima tahun yang lalu. Pada tahun 2018, kebakaran besar di kaki bukit Sierra Nevada memusnahkan kebanyakan kawasan di bandar Paradise. Kebakaran itu meragut 85 nyawa.

    Ketika kebakaran hutan di Mckinney berlaku, ia hanya menyebabkan ratusan ekar terbakar dan anggota bomba menyangka mereka mampu mengawal kebakaran tersebut.

    Namun, keadaan menjadi di luar kawalan apabila ribut petir melanda dengan tiupan angin yang kuat menjadikan usaha memadam api sukar dikawal.

    Rumah Roger Dorry, 80, dan anak lelakinya, Rodger, antara keluarga dari Sungai Klamath yang musnah akibat bencana api itu.

    Derry yang menetap di Sungai Klamath sejak empat dekad yang lalu berkata, kejadian kebakaran hutan itu amat menakutkan yang pernah dialaminya.

    Sementara itu, Harlene Schwander, 82, baru berpindah ke rumahnya yang musnah dijilat api.

    Dia berpindah ke Sungai Klamath agar dia dapat dekat dengan anak lelaki dan menantunya. Schwander hanya mampu menyelamatkan beberapa keping gambar keluarga dan barang kemas sebelum rumahnya rentung.

    Manakala koleksi seni beliau turut musnah. “Saya berasa amat sedih. Orang kata koleksi seni itu hanyalah sekadar barang, namun bagi saya, ia satu benda yang amat bermakna,” katanya. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...