Desak hukuman berat ke atas empat polis

WASHINGTON, 30 OGOS – Pendakwa raya berusaha mendesak hukuman berat terhadap empat anggota polis yang dituduh menyebabkan kematian seorang lelaki Afrika-Amerika, George Floyd.

Floyd, 46, penduduk Minneapolis, Minnesota maut pada Mei lalu apabila Derek Chauvin dirakam menekan leher mangsa dengan lututnya hampir sembilan minit sehingga mangsa tidak boleh bernafas.

Dokumen mahkamah yang difailkan pada Jumaat menunjukkan Pejabat Peguam Negara Minnesota akan berhujah bahawa terdapat beberapa faktor yang membimbangkan termasuk tindakan Chauvin menekan lutut di leher Floyd selama hampir sembilan minit.

Tindakan anggota polis itu disaksikan oleh orang awam termasuk beberapa kanak-kanak yang merayu supaya mangsa dilepaskan, tetapi ia berakhir dengan kematian Floyd.

“Mangsa tidak berbahaya kerana anggota polis menggari tangganya di belakang dan meniarapkan beliau di atas jalan dan Floyd dengan jelas berulang kali memberitahu kepada anggota polis bahawa dia tidak dapat bernafas,” menurut dokumen mahkamah itu.

Chauvin menyalahgunakan kedudukan sebagai anggota penguat kuasa secara sewenang-wenangnya, kata pendakwa raya.

“Di sebalik pengakuan Floyd bahawa dia tidak dapat bernafas dan akan mati serta permintaan saksi untuk melepaskan Floyd dan membantunya, defendan dan defendan bersama terus menahan Floyd,” menurut dokumen itu. – AFP