JAKARTA, 16 Jan – Ribuan anggota Front Pembela Islam (FPI) hari ini menyertai demonstrasi secara aman bagi mendesak supaya Ketua Polis Jawa Barat, Anton Charliyan dipecat.
Anggota FPI, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, mula berhimpun di Masjid Al Azhar di Jalan Jalan Trunojoyo, Kebayoran Baru, Jakarta Selatan pada pukul 8 pagi.
Mereka kemudian berarak beramai-ramai sejauh kira-kira dua kilometer menuju ke Markas Besar (Mabes) Polis Republik Indonesia di sini.
Perarakan berseragam serba putih itu diketuai oleh Imam Besar FPI, Mohamad Rizieq Shihab yang menaiki sebuah kenderaan khas.
FPI menuntut Ketua Polis Negara Tito Karnavian memecat Anton yang didakwa tidak profesional melaksanakan tugasnya dan telah membiarkan polis daerah itu menyerang dan memukul anggota FPI di Bandung minggu lepas.
Jurucakap FPI, Munarman berkata, setelah kepimpinan FPI dibenarkan masuk ke Mabes, mereka menyerahkan memorandum dan salinan laporan polis mengenai kes berkenaan kepada tiga pegawai kanan polis.
Katanya, dalam perjumpaan itu, FPI mengadu mengenai tindakan tidak profesional Ketua Polis Jawa Barat yang telah membiarkan para preman melakukan penganiayaan terhadap anggotanya yang ditahan di sebuah balai polis di Bandung.
Lebih 2,000 anggota polis dan Tentera Nasional Indonesia masih mengawal perhimpunan itu bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku. – Bernama
































