Tuesday, October 8, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Desakan hidup dorong belia Venezuela berdikari

    CARACAS – Angel Villanueva berjalan secara perlahan menuju ke arah air kotor berwarna coklat yang mengalir di Sungai Guaire, di ibu negara Venezuela untuk menerokai kawasan tersebut dengan harapan untuk menerokai sesuatu yang berharga.

    Dia cukup berani untuk memasukkan tangannya ke dalam air yang cetek itu sambil memalingkan wajahnya untuk menghindarkan bau yang kurang menyenangkan di kawasan tersebut. Ketika tangannya berjaya mencapai sesuatu benda, dia cuba berusaha untuk menariknya keluar dengan harapan untuk menemui subang, cincin atau apa sahaja yang berharga untuk dijual demi mendapatkan sumber kewangan untuk membeli makanan.

    Dalam kesibukan lelaki berusia 26 tahun itu melakukan kerja-kerja penggalian dan penerokaan di kawasan sungai kotor tersebut, dia juga sentiasa meningkatkan pengawasan diri akan wujudnya sebarang risiko di sekitar kawasan tersebut seperti hujan lebat yang boleh menghanyutkan dirinya dan juga petir yang pada bila-bila masa sahaja boleh menyambar dirinya.

    “Hakikatnya, mencari pekerjaan di Guaire bukan merupakan satu perkara yang mudah untuk dilakukan dan adakalanya tugasan yang dilakukan itu memiliki risiko yang cukup tinggi,” jelas Villanueva.

    Kehidupan di kalangan masyarakat Venezuela memang agak mencabar berikutan daripada krisis kewangan sehingga ada yang memaksa mereka untuk mencari makanan dari kawasan sampah.

    Para belia di Venezuella tetap semangat berusaha melakukan kerja-kerja penggalian dan penerokaan tanpa menghiraukan kepada kekotoran di Sungai Guaire. – AP
    Desakan dalam kehidupan secara tidak langsung telah mendorong para belia semakin gigih bekerja demi mencari rezeki. – AP

    Dari situ, semakin ramai individu yang melakukan kerja-kerja pencarian dan penerokaan di kawasan sungai ini demi membantu untuk menyara kehidupan dirinya dan keluarganya.

    Cuaca panas terik langsung tidak menjejaskan semangat mereka untuk meneruskan kerja-kerja tersebut yang biasanya dilakukan secara berkumpulan.

    “Sejak krisis kewangan berlaku, semakin ramai yang bersemangat untuk melakukan pelbagai pekerjaan demi mendapatkan sumber sara hidup,” jelas Alejandro Velasco yang merupakan seorang Profesor yang memberikan kuliah dalam bidang Sejarah Amerika Latin di Universiti New York dan merupakan anak jati di Caracas.

    Setiap pagi, anak-anak muda akan kelihatan di kawasan Sungai Guaire di mana ada di antaranya membalut jari bagi melindunginya daripada sebarang kecederaan atau pun sebarang jangkitan sebelum memulakan kerja penggalian dan penerokaan di sungai tersebut.

    Rata-rata ramai di antara mereka yang langsung tidak mengendahkan mengenai kesan jangka panjang akibat meluangkan masa terlalu lama berada di kawasan kotor tersebut pada setiap hari.

    Usaha untuk meminta bantuan bagi membersihkan kawasan sungai itu telah banyak kali disuarakan namun ternyata ia tetap tidak membuahkan sebarang hasil.

    “Suatu hari nanti, saya akan menjemput anda untuk berenang di Sungai Guaire,” jelas mendiang Presiden Venezuela, Hugo Chavez ketika berucap pada tahun 2005 namun ia tetap tidak berjaya direalisasikan.

    Pada tahun 2012, Bank Pembangunan Inter-Amerika telah meluluskan pinjaman sebanyak AS$300 juta bagi melaksanakan projek loji rawatan air khusus untuk merawat air di kawasan sungai tersebut

    Bagaimanapun enam tahun selepas usaha tersebut dilaksanakan ternyata projek pembersihan di kawasan sungai itu tetap gagal untuk dilaksanakan dan lebih menyedihkan lagi apabila pihak kerajaan juga tidak menyuarakan sebarang idea untuk meningkatkan kemajuan berhubung mengenai perkara tersebut.

    Keadaan kotor dan bau yang tidak menyenangkan jelas tidak menghalang para belia di Venezuela untuk terus berusaha. – AP

    Hakikatnya berada di kawasan sungai tersebut memang cukup menjijikkan dan ia semakin bertambah buruk apabila tekak seseorang individu itu mungkin secara tiba-tiba menjadi loya setelah mencium bau yang kurang menyenangkan di kawasan sungai tersebut.

    Seorang wanita jelas berasa terkejut tatkala mendapati beberapa orang belia yang sanggup berada di kawasan sungai yang agak kotor tersebut.

    Villanueve kini tinggal bersama bapanya yang merupakan mantan tentera yang bersara di salah sebuah kawasan miskin dan berbahaya di Caracas. Ketika ini, dia masih bersedih dengan peristiwa kematian ibunya yang disebabkan oleh strok dan berusaha sebaik mungkin untuk mengabulkan impiannya yang mengharapkan dirinya belajar di kolej.

    Telah banyak usaha yang dilaksanakan oleh Villanueve untuk mendapatkan sumber kewangan termasuk membersihkan kawasan jalanan.

    Rata-rata ramai penduduk di negara itu yang mengadu bahawa mereka dibayar dengan gaji yang rendah sehingga ada yang hanya menerima gaji serendah AS$7 sebulan.

    Berikutan daripada faktor kesukaran untuk mencari sumber pendapatan secara tidak langsung menyebabkan warga di negara itu tidak memiliki pola makanan yang teratur sehingga ada kalanya membuatkan penduduk mengalami pengurangan berat badan secara mendadak pada tahun lalu.

    Villanueva mula melakukan kerja-kerja penggalian dan penerokaan di sungai tersebut sejak enam bulan yang lalu atas ajakan seorang kawannya. Pada hari pertama dia melakukan tugasan tersebut, dia telah berjaya menjual barangan yang diperolehi dan mendapat keuntungan sebanyak AS$20.

    Bertitik tolak daripada hari tersebut, dia semakin rajin untuk melaksanakan pekerjaan tersebut tanpa menghiraukan sebarang hinaan dan cacian yang diberikan kepadanya.

    Kebanyakan individu yang melakukan aktiviti tersebut akan menjual barangan berharga yang ditemui di Bolivar Plaza di mana emas yang berjaya ditemui akan gadai pada harga yang agak tinggi.

    Tidak pernah berputus asa dalam berdikari demi mencari rezeki, Villanueva juga turut menyimpan impian untuk berhijrah bagi memulakan kehidupan yang lebih positif. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda