WASHINGTON, 25 MEI – Gabenor Florida, Ron DeSantis semalam mengumumkan pencalonannya untuk perlumbaan merebut jawatan presiden Amerika Syarikat (AS) 2024 dan berikrar menge-tuai ‘Kebangkitan Semula Amerika Hebat,’ lapor Xinhua.
DeSantis membuat pengumuman itu dalam video yang dimuat naik di Twitter.
“Kami memerlukan keberanian untuk memimpin dan kekuatan untuk menang.
“Saya Ron DeSantis dan saya bertanding jawatan presiden untuk mengetuai kebangkitan semula Amerika yang hebat,” kata DeSantis.
Pasukan kempennya memfailkan dokumen dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan mengisytiharkan pencalonannya awal Rabu.
DeSantis dianggap sebagai pencabar utama dalam pemilihan utama Republikan kepada sekutunya, bekas Presiden AS Donald Trump, yang secara rasmi mengumumkan pencalonannya dalam merebut jawatan presiden beberapa bulan sebelum ini.
DeSantis, 44, mempunyai latar belakang pendidikan Ivy League. Beliau belajar sejarah di Universiti Yale dan tidak lama kemudian melanjutkan pelajaran ke Harvard Law School.
Pernah menjadi pegawai tentera laut, DeSantis kali pertama dipilih ke Kongres pada 2012 sebelum menjadi gabenor Florida pada 2018 dan dipilih semula pada 2022. – Bernama
