Deschamps tolak tepi kontroversi Kylian Mbappe

TURIN, 7 OKT – Didier Deschamps semalam menegaskan bahawa dia tidak berminat dengan sebarang kontroversi membabitkan Kylian Mbappe selepas bintang Perancis itu berkata, dia mahukan lebih banyak sokongan daripada rakan pasukan selepas skuad Les Bleus tersingkir awal ketika Euro 2020.

Pada Selasa lalu Mbappe dalam satu sesi temu bual berkata, dia mahukan lebih sokongan daripada rakan pasukan selepas gagal menyempurnakan penalti ketika menentang Switzerland sekali gus menamatkan kempen Perancis di Kejohanan Eropah di peringkat 16 terbaik.

Bagaimanapun jurulatih, Deschamps mendakwa beliau tidak membaca artikel berkenaan yang disiarkan dua hari sebelum Mbappe membuat penampilan antarabangsa yang ke-50 bersama pasukan kebangsaan, bertemu Belgium di separuh akhir Liga Negara-Negara.

“Saya tidak tahu apa yang dia cakap, saya tidak membaca dan saya tidak berminat,” kata Deschamps.

“Saya bercakap dengan dan berbincang dengannya, itu yang penting untuk saya. Apa yang sudah berlaku biar berlaku, awda tidak boleh kembali ke masa lalu.”

Kapten Perancis, Hugo Lloris bagaimanapun berkata, sudah tiba masanya Perancis melupakan apa yang berlaku di Euro dan kini fokus terhadap perlawanan seterusnya di Turin. – AFP

Aksi penyerang PSG, Kylian Mbappe semasa mengawal bola dalam perlawanan Ligue 1 menentang Rennes di Roazhon Park, Rennes pada 3 Oktober lalu. – AFP