Destinasi ekopelancongan alternatif

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 13 NOV – Pelancaran projek ‘Teroka Labi’ akan membantu memelihara kehijauan, flora, fauna dan udara segar serta menubuhkan Mukim Labi sebagai pembangunan ekopelancongan dan tempat perlindungan hidupan liar yang mapan, bertanggungjawab dan inklusif.

Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Pengiran Haji Kamalrudzaman bin Pengiran Haji Mohd Ishak mengulas perkara berkenaan semasa berucap bagi mewakili Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan pada majlis pelancaran Projek ‘Teroka Labi’ di Rumah Panjang Mendaram Besar, Daerah Belait, hari ini.

Beliau berkata bahawa mukim berkenaan yang meliputi kawasan kira-kira 47,784 hektar, telah dicadangkan menjadi destinasi alternatif ke Temburong dan sesuai bagi riadah dan jelajah pendidikan, perkhemahan musim panas, aktiviti-aktiviti luar kurikulum dan pembangunan pasukan serta program-program outward-bound.

Tambah beliau, kawasan berkenaan juga terdapat laluan menuju dua air terjun terkenal iaitu Wasai Wong Kadir dan Wasai Teraja serta pemerhatian hidupan liar, yang mana menurut beliau, mukim berkenaan mempunyai lebih 300 spesies hidupan liar yang asli di Borneo, 81 spesies katak, lebih daripada 10 spesies ular dan reptilia, lebih 150 spesies burung hutan dan banyak lagi.

Beliau berkata, projek berkenaan menerapkan prinsip pelancongan mapan, bertanggungjawab dan inklusif yang bertujuan untuk meningkatkan aktiviti-aktiviti ekopelancongan sedia ada dengan mengutamakan usaha-usaha pemeliharaan alam semula jadi seperti projek-projek penanaman pokok, pemuliharaan hidupan liar dan program-program pelepasan serta menyediakan pelancongan eko yang memenuhi objektif berkenaan.

Sebahagian rombongan ketika melawat ke ladang kopi selepas pelancaran projek ‘Teroka Labi’.

Prinsip pelancongan bertanggungjawab pula bertujuan untuk menggalakkan para pelawat bekerjasama dengan komuniti setempat dalam menyokong dan bekerjasama memulihara dan melindungi alam sekitar dan hidupan liar.

“Pada masa yang sama, mengekalkan dan melindungi budaya, sejarah dan warisan masyarakat setempat,” tambah beliau.

Bagi pelancongan inklusif pula, beliau berkata, ia bermatlamat untuk menggalakkan masyarakat setempat untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti pelancongan berasaskan komuniti yang bertujuan untuk menjana ekonomi dengan menghasilkan dan menjual produk-produk dan perkhidmatan setempat kepada pengunjung.

“Di samping itu, penduduk setempat juga digalakkan untuk terlibat aktif dalam menjadi pembekal perkhidmatan pelancongan seperti pemilik-pemilik inap desa, penyaji makanan, jurupandu tempatan dan sebagainya,” tambahnya.

Mengulas mengenai pusat pelawat sehenti yang dicadangkan di Kampung Labi, beliau berkata, pembukaan pusat tersebut boleh membantu menyediakan pelbagai kemudahan seperti kaunter pendaftaran, pusat maklumat, bilik-bilik taklimat dan sembahyang, kedai sagu hati dan runcit, cawangan kedai makan dan minuman serta gerai-gerai untuk menjual hasil dan kraftangan tempatan.